MahkamahNasional

Mahkamah Sesyen lepaskan tanpa bebaskan kes rasuah, gubah wang haram Azeez

MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini melepaskan Datuk Seri Azeez Rahim tanpa membebaskan Ahli Parlimen Baling itu berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram.

Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi membuat keputusan itu selepas Mahkamah berpuas hati dengan permintaan pihak pendakwaan untuk perintah membebaskan Azeez.

“Ini bagi membolehkan pihak pendakwaan melengkapkan siasatan mereka mengenai petunjuk ‘baharu’ selepas tertuduh (Azeez) mengemukakan representasinya (atas) pertuduhan.

“Mahkamah tidak boleh (membuat kesimpulan) bahawa pihak pendakwaan tidak berhasrat untuk meneruskan perbicaraan,” katanya.

Setakat ini, hanya lima saksi telah memberi keterangan sejak perbicaraan bermula pada 2020.

Hari ini pada mulanya ditetapkan untuk sebutan sementara menunggu keputusan oleh peguam negara mengenai representasi Azeez yang menuntut penarikan balik tiga tuduhan rasuah dan enam tuduhan pengubahan wang haram yang dihadapinya.

Pihak pembelaan telah mengemukakan lima representasi kepada pihak pendakwaan berhubung tuduhan dihadapi Azeez.

Bekas Pengerusi Tabung Haji itu didakwa pada 2019 atas tuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah.

Dia juga berdepan 10 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM13.9 juta dana daripada sebuah syarikat, Menuju Asas Sdn Bhd.

Bagaimanapun, empat daripada 10 tuduhan pengubahan wang haramnya membabitkan RM12.9 juta telah dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan awal bulan ini.

Mahkamah Rayuan memerintahkan Azeez dibicarakan atas baki enam tuduhan pengubahan wang haram dan tiga tuduhan rasuah.

Azeez diwakili peguam Amer Hamzah Arshad, manakala Timbalan Pendakwa Raya Aslinda Ahad mengendalikan pendakwaan. – SM

(Visited 131 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button