Belang Bertempat

Malaysian Malaysia daripada perspektif Isham Jalil

KELMARIN Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, mereka tidak akan meninggalkan perjuangan Malaysian Malaysia dan negara sekular mereka. Oleh itu mereka akan teruskan perjuangan untuk menukar Malaysia supaya menerima ideologi-ideologi ini.

Berikut adalah perpektif Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Isham Jalil yang mengulas tentang ideologi yang ingin diserapkan melalui konsep Malaysian Malaysia-DAP!

13 tahun lepas saya telah menulis dalam buku saya “Malaysia Selepas 2020” mengapa Malaysia tidak boleh menerima ideologi Malaysian Malaysia ini. Ini kerana ideologi Malaysian Malaysia ini adalah berasaskan asimilasi kaum dan ia adalah tidak baik untuk sesebuah negara yang berbilang bangsa dan ia memburukkan lagi masalah diskriminasi.

Ideologi dan slogan Malaysian Malaysia ini mulanya dibawa dan diperkenalkan oleh Lee Kuan Yew dan partinya People’s Action Party (PAP) di Singapura. Ideologi inilah yang menjadi salah satu sebab utama Malaysia berpisah dari Singapura pada tahun 1965.

Selepas itu dan sehingga kini ideologi Malaysian Malaysia ini diteruskan oleh parti DAP di Malaysia. Mereka ingin menjadikan sistem hubungan kaum di Malaysia seperti di Singapura.

Di negara-negara yang mengamalkan asimilasi kaum, kaum minoriti perlu mengasimilasi dan mengamalkan cara hidup kaum majoriti.

Asimilasi ini bermakna kaum minoriti perlu meninggalkan cara hidup, budaya dan adat resam mereka untuk mengadaptasi kepada budaya dan adat resam kaum majoriti.

Di Indonesia, orang-orang kaum minoriti Cina di sana mempunyai nama Indonesia, bersekolah kebangsaan, dan bertutur dalam bahasa Indonesia.

Di Singapura tiada sekolah minoriti Melayu, Cina atau India yang ditaja oleh kerajaan, ini untuk menggalakkan asimilasi kaum minoriti kepada kaum majoriti. Semua ini dilakukan atas alasan dan sebab untuk mewujudkan “kesamarataan”.

GAMBAR FACEBOOK – ISTERI Perdana Menteri, Datin Seri Wan Azizah Ismail bergambar dengan sebahagian rakyat Malaysia yang hadir pada sambutan Hari Kemerdekaan Ke-66 pada 31 Ogos di Putrajaya.

Namun demikian “kesamarataan” ini tidak berlaku malah asimilasi ini menerukkan lagi masalah diskriminasi dan perkauman dan ketidakseimbangan ekonomi dalam sesebuah negara.

Ini kerana walaupun kerajaan boleh menukar nama dan bahasa seseorang individu, mereka tidak boleh menukar warna kulit dan agama seseorang.

Rata-rata sejak berkurun lama di serata dunia, seseorang individu atau kumpulan di-diskriminasi kerana prejudis terhadap agama dan warna kulit mereka.

Undang-undang boleh digubal untuk mengharamkan diskriminasi tetapi ia tidak dapat menghalang diskriminasi yang berlaku secara realiti dalam ekonomi dan sosial contohnya dalam perniagaan, pengambilan kerja, penetapan gaji, dan kenaikan pangkat.

Pelaksanaan undang-undang anti-diskriminasi dalam hal ini adalah tidak berkesan kerana hampir semua keputusan di pasaran yang diambil berkenaan hal-hal di atas adalah berdasarkan budibicara yang subjektif.

Sebab itu kes-kes diskriminasi sukar dibuktikan di mahkamah melalui undang-undang.
Sebab itu juga di negara-negara yang mengamalkan asimilasi kaum, masalah diskriminasi adalah berleluasa.

Dan dengan dasar “kesamarataan” Malaysian Malaysia, tidak boleh ada dasar tindakan afirmatif atau “affirmative action policy” seperti dasar ekonomi Bumiputera, Indian Blueprint dan sebagainya untuk memperbetulkan keadaan akibat prejudis dan diskriminasi ini.

Dan tanpa dasar-dasar ini ia akan menerukkan lagi ketidakseimbangan ekonomi kaum-kaum di Malaysia.

Sebab itu waima di Amerika Syarikat pun yang sudah 247 tahun merdeka dasar tindakan afirmatif masih dikekalkan, sebab kerajaan Amerika menerima hakikat bahawa diskriminasi berasaskan warna kulit dan agama adalah realiti dan berlaku secara berleluasa dalam sektor ekonomi dan sosial.

Oleh itu suatu tindakan afirmatif atau pembetulan perlu dibuat untuk mengelakkan keadaan daripada menjadi lebih teruk.

Sebenarnya asimilasi kaum ala Malaysian Malaysia ini memberi tekanan kepada kaum minoriti Cina dan India di Malaysia juga.

Ini kerana dengan asimilasi Malaysian Malaysia, tidak akan ada sekolah-sekolah vernakular Cina dan Tamil di Malaysia yang ditaja oleh kerajaan seperti ianya tiada di Singapura.

Saya tidak rasa rata-rata kaum Cina dan India di Malaysia mahu jika sekolah-sekolah vernakular mereka dihapuskan.

Sebab itu saya tidak rasa tujuan utama DAP memperjuangkan Malaysian Malaysia adalah untuk mengasimilasi kaum minoriti terutama kaum Cina dan India di Malaysia kepada cara hidup dan adat resam kaum majoriti Melayu.

GAMBAR HIASAN – FACEBOOK

Saya juga tidak rasa mereka (DAP) mahu menghapuskan sekolah-sekolah vernakular Cina dan Tamil di Malaysia.

Oleh sebab itu saya lihat sebab PAP dari dulu dan DAP sehingga kini memperjuangkan Malaysian Malaysia atas alasan “kesamarataan” ini berpunca dari hak-hak keistimewaan orang-orang Melayu yang mereka lihat kononnya tidak “samarata”.

Oleh itu untuk “menyamaratakan” Malaysia, mereka memperjuangkan ideologi Malaysian Malaysia ini dan ia bermakna ketiadaan hak-hak keistimewaan sesuatu bangsa.

Oleh itu ideologi “kesamarataan” Malaysian Malaysia ini bermaksud tidak akan ada hak-hak keistimewaan Melayu kerana pada pandangan mereka ini akan kononnya mewujudkan ketidaksamarataan.

Pemimpin DAP berkata mereka menjunjung Perlembagaan dan pada masa yang sama memperjuangkan Malaysian Malaysia.

Ini adalah suatu kenyataan yang bercanggah. Mereka tidak boleh menjunjung Perlembagaan tetapi pada masa yang sama memperjuangkan Malaysian Malaysia. Sebab ideologi Malaysian Malaysia ini adalah tidak selari atau tidak “compatible” dengan Perlembagaan Malaysia.

Perlembagaan Malaysia melindungi hak keistimewaan orang-orang Melayu, agama Islam dan Raja-raja Melayu.

Sebaliknya dalam Malaysian Malaysia tiada keistimewaan-keistimewaan ini sebagaimana tiada keistimewaan orang-orang Melayu dan tiada Raja-raja Melayu di Singapura.

Pejuang-pejuang kemerdekaan kita dahulu menolak asimilasi kaum sebaliknya memilih untuk membina negara dengan integrasi kaum.

Dengan integrasi kaum setiap kaum boleh mengekalkan cara hidup dan adat resam mereka sendiri tanpa diasimilasi, dan hidup bersama dengan harmoni.

Dahulu orang-orang Melayu dan UMNO telah bangkit menentang Malayan Union atau “Kesepaduan Malaya” dan kita mencapai kemerdekaan.

Kemudian kita telah bangkit menentang asimilasi Malaysian Malaysia yang dibawa PAP walaupun itu menyebabkan perpisahan kita dengan Singapura. Kita memperjuangkan integrasi kaum, menjunjung Perlembagaan dan menolak asimilasi Malaysian Malaysia.

Semua rakyat Malaysia yang ingin hidup secara harmoni dan pada masa yang sama mengekalkan adat resam, budaya dan cara hidup etnik mereka perlu menolak asimilasi Malaysian Malaysia ini.

Ini termasuklah DAP jika mereka benar-benar mahu menjunjung Perlembagaan. UMNO perlu terus memperjuangkan integrasi kaum dan menolak asimilasi kaum Malaysian Malaysia.

Selamat Hari Merdeka dan Hari Malaysia. –  NOTA-CATATAN OLEH ISHAM JALIL

(Visited 929 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button