Politik

Kilang arak dibuka ketika PKP: Saya tidak selesa jawab untuk kementerian lain

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan beliau tidak selesa untuk menjawab bagi pihak kementerian lain berkaitan sebuah kilang arak dibenarkan beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasa.

Menurut Dr. Zulkifli, mungkin ada pihak yang mempersoalkan mengapa beliau tidak membuat sebarang ulasan mengenai isu tersebut. Dr. Zulkifli berkata, mereka yang mengenali dirinya sejak menjawat jawatan Mufti Wilayah Persekutuan enam tahun lalu faham akan sikap beliau.

“Boleh jadi jawapan saya tepat atau salah. Malah, saya juga tidak mengetahui adakah apa yang saya fahami, benar-benar seperti yang dikatakan orang atau sebaliknya.

“Soalan-soalan yang berbaur kontroversi atau bertujuan melaga-lagakan saya dengan sesiapa sahaja, itulah yang terutamanya saya elakkan. Ini kerana, kalau saya tergesa-gesa menjawabnya, boleh jadi ia menjatuhkan maruahnya,” kata Dr. Zulkifli.

Menurutnya, beliau mengambil kecaknaan sebarang bentuk nasihat dan cadangan dari semua pihak terutamanya Ashab al-Samahah para mufti, cendekiawan Islam dan sesiapa sahaja. Nasihat itu akan dihadam dan cuba mencari jalan yang terbaik dalam menyelesaikannya.

Dr. Zulkifli amat berharap insiden kilang arak yang dibenarkan beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanankan tidak berulang kerana umum sudah mengetahui natijahnya.

Sementara itu, bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu berkata, pendirian beliau berkaitan arak adalah konsisten tanpa kompromi bahawa minuman keras itu adalah haram di sisi Islam.

“Anda boleh merujuk penulisan-penulisan saya berkenaan arak ketika menjadi Mufti Wilayah Persekutuan. Teguran dan nasihat saya ada tulus ikhlas dari hati dan bukan memilih-milih.

“Arak atau minuman beralkohol bukan sahaja dilarang dalam Islam, malah ianya digambarkan dengan keburukan dan bahayanya dalam agama Hindu, Buddha, Kristian, Sikh dan lain-lain. Apalah erti kehidupan kita jika masing-masing tidak berpegang teguh dengan nilai-nilai yang diajarkan dalam agama?” kata Dr. Zulkifli.

Dr. Zulkifli berkata, tragedi kemalangan jalan raya akibat mabuk bukanlah asing dalam dada akhbar di Malaysia. Ia akan kekal menjadi igauan ngeri rakyat Malaysia jika isu arak tidak diteliti dengan baik.-SM

(Visited 354 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button