Politik

Parti yang berkuasa tentukan siapa bakal PM – Anwar

SUARA MERDEKA-Tindakan segelintir ahli pembangkang dari UMNO dan majoriti dari Pas yang mahu Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad terus menjalankan tugas Perdana Menteri sehingga tamat penggal pentadbiran bukan satu langkah yang mengejutkan, kata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah ujarnya, tindakan mereka itu dilihat tidak relevan sama sekali kerana dalam soal siapa pengganti dan bila ia akan berlaku hanya boleh diputuskan dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

“Pembangkang macam biasalah, hanya mahu timbulkan masalah. Dahulu semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN) pembangkang tidak pula disuruh pilih calon Perdana Menteri.

“Tak mengapalah. Ia bukan melibatkan pembangkang. Malah isu itu juga sudah dijawab Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam serta pemimpin-pemimpin PH lain iaitu Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Penasihat DAP Lim Kit Siang.

“Sekarang ini parti yang berkuasa akan menentukan siapakah Perdana Menteri dan sekarang kita sokong Dr. Mahathir,” katanya sewaktu ditemui pemberita pada Seminar Pembinaan Bangsa Malaysia.

Sebelum ini, enam ahli Parlimen UMNO tampil memberi sokongan agar Dr. Mahathir meneruskan tugas sebagai Perdana Menteri sehingga tamat penggal iaitu Datuk Mohd Shahar Abdullah (Paya Besar), Datuk Adham Baba (Tenggara), Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar), Datuk Abdul Rahman Mohamad (Lipis), Datuk Ismail Abdul Muttalib (Maran), dan Ahmad Nazlan Idris (Jerantut).

Manakala Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan juga memberi jaminan bahawa kesemua 18 ahli Parlimen mereka mahu Dr. Mahathir terus menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sehingga pilihan raya akan datang.

Malah timbalan kepada Anwar di dalam PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyatakan ada pihak yang ghairah mahu mengubah pentadbiran kerajaan lebih awal sebagai percubaan menggunakan ‘pintu belakang’ untuk menjadi Perdana Menteri.

Ujarnya, rakyat jelas sudah menyerahkan mandat kepada Dr. Mahathir untuk meneruskan pentadbiran kerajaan bagi tempoh lima tahun selepas memenangi Pilihan Raya Umum lalu.

 

(Visited 209 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button