Berita

Kikis sikap lengah agih harta pusaka – Raja Muda Perlis

Sikap melengah-lengahkan urusan pembahagian harta pusaka perlu dikikis di dalam diri masyarakat kerana ia akan merugikan ekonomi umat Islam itu sendiri.

Pengurusan harta pusaka orang Islam perlu ditadbir dengan cekap dan baik supaya pihak yang layak akan mendapat haknya sepertimana yang telah ditentukan dalam hukum faraid.

Menurut laporan akhbar negara, hampir RM70 bilion nilai harta pusaka dengan majoritinya milik orang-orang Melayu Islam di negara ini tidak dituntut sejak negara kita mencapai kemerdekaan sehinggalah ke hari ini.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan merasmikan ’Faraid Simple Tier atau eFaST Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis (JKSNPs)’ atas undangan Ketua Hakim Syarie Negeri, Yang Amat Arif Ibrahim Deris secara dalam talian pada pagi ini.

Menurut baginda, inovasi dalam penyampaian perkhidmatan awam amat perlu seiring dengan kemajuan teknologi.
Inisiatif pewujudan aplikasi sistem eFaST ini diharap bakal menjadi antara langkah awal ke arah pembangunan digital dan akan ada lebih banyak lagi usaha-usaha pendigitalan perkhidmatan yang lain diperkenalkan kelak.

Namun, Tuanku Syed Faizuddin Putra mengingatkan bahawa sistem yang diwujudkan ini akan menjadi sia-sia jika ianya tidak digunakan dengan sebaiknya. Justeru, baginda amat berharap agar sistem ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh seluruh rakyat negeri Perlis dan orang Islam khususnya.

Baginda juga menitahkan harapan supaya JKSNPs akan terus mengorak langkah untuk terus mencipta pembaharuan dalam penyampaian perkhidmatan yang akan memudahkan lagi rakyat untuk berurusan dengan Mahkamah Syariah.

(Visited 153 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button