Nasional

KPWKM komited didik masyarakat Kelantan bahaya impak gangguan seksual

ISU gangguan seksual dalam kalangan wanita menjadi kebimbangan utama rakyat Malaysia. Merujuk kepada statistik gangguan seksual yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun 2022 melaporkan bahawa sebanyak 477 kes gangguan seksual di seluruh negara dan 11 kes daripadanya dilaporkan di Negeri Kelantan.

Kajian yang dilaksanakan oleh IPSOS Group S.A iaitu sebuah badan kajian terbesar di dunia mendapati bahawa pada tahun 2022 isu gangguan seksual menjadi kebimbangan utama di Malaysia dengan catatan peratusan tertinggi iaitu sebanyak 35 peratus berbanding purata global iaitu sebanyak 29 peratus.

Walaupun jumlah kes gangguan seksual ini dilihat kecil namun kesan tidak boleh diambil mudah. Gangguan seksual tidak pernah mengenal mangsanya dan boleh berlaku kepada sesiapa dan di mana sahaja.

Masalah ini akan memberi kesan kepada mental, kesihatan fizikal, moral mangsa serta hubungan dengan masyarakat. Trauma disebabkan gangguan seksual juga boleh memberi kesan berpanjangan kepada diri mangsa.

Justeru, kesedaran dan tanggungjawab semua pihak dapat membendung isu gangguan seksual daripada terus berleluasa.

Sehubungan dengan itu, Akta Antigangguan Seksual 2022 [Akta 840] digubal sebagai satu manifestasi penting Kerajaan bahawa kesalahan gangguan seksual merupakan satu pelanggaran kepada hak asasi manusia.

Adalah menjadi tekad kerajaan untuk mengekalkan keharmonian  masyarakat dan menghapuskan budaya menormalisasikan gangguan seksual dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Penggubalan akta ini membuktikan bahawa Kerajaan serius dalam menangani isu gangguanseksual.

Penganjuran Jerayawara KASIH KPWKM @Advokasi Antigangguan Seksual ini bertujuan supaya masyarakat menjadi lebih cakna mengenai isu gangguan seksual. KPWKM mengadakan jerayawara ini diadakan di seluruh negara pada tahun 2023 dan negeri Kelantan merupakan destinasi ketujuh.

Di samping memberi advokasi mengenai antigangguan seksual, jerayawara ini juga menjadi platform untuk menyampaikan perkhidmatan yang disediakan KPWKM kepada masyarakat.

Program pada kali ini dimulakan dengan Program Bersama Berjalan: Katakan Tidak Kepada Gangguan Seksual untuk membuat advokasi melalui edaran risalah mengenai maklumat berkaitan antigangguan seksual kepada
masyarakat sekitar.

Program ini diketuai oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri bersama 350 peserta yang terdiri daripada kumpulan sasar KPWKM dan pelajar daripada Sekolah Kebangsaan Padang Garong 1.

Selain daripada program tersebut, pengisian jerayawara diteruskan dengan Taklimat Advokasi Antigangguan Seksual oleh Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Pengendalian Kes Kesalahan Seksual Terhadap Wanita dan Kanak-Kanak oleh PDRM, Taklimat Pengurusan Kes Gangguan Seksual Semasa Bencana oleh Family Empowerment Society (FAME), Taklimat Peranan Keluarga Dalam Membendung Gangguan Seksual oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan pameran daripada agensi-agensi serta jualan produk yang diusahakan oleh kumpulan sasar KPWKM. – SM

(Visited 98 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button