Politik

Hadi berkhayal, Islam turut jadi agenda penting kerajaan PH

PARTI Amanah Negara (PAN) menyifatkan tuduhan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang kononnya wujud konspirasi dalaman untuk menjatuhkan kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad bagi memastikan golongan anti-Islam berkuasa sehingga Pas dan sekutu terpaksa ambil alih kerajaan adalah rekaan dan khayalan.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad berkata,  kerajaan Pakatan Harapan berdiri teguh bersama kepimpinan  Dr. Mahathir dan tegas mempertahankan kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan.

“Kerajaan Pakatan Harapan turut meletakkan kepentingan Islam dan umat Islam sebagai agenda penting kerajaan.

“Banyak pembaharuan bagi pengukuhan pentadbiran Islam telah dilaksanakan dalam tempoh singkat 22 bulan,” kata Khalid dalam satu kenyataan kepada media.

Beliau mengulas mengenai sepucuk surat  yang ditulis dalam bahasa Arab dan ditujukan kepada para pemimpin gerakan Islam di seluruh dunia khususnya di negara-negara Arab.

Surat bertarikh 22 Mac 2020 itu menggunakan kepala surat Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan ditandatangani oleh Abdul Hadi.

Khalid mendakwa, PAS yang sebenarnya tidak mampu membawa mesej politik Islam dalam suasana negara Malaysia yang berbilang kaum.

Beliau mendakwa parti Pas telah memilih jalan perkauman dan menyerang pendekatan politik berbilang kaum sebagai musuh kepada Islam dan Melayu.

“Disebabkan perubahan haluan dan prinsip politik, PAS turut sanggup mempertahankan dan bekerjasama dengan UMNO yang telah ditolak oleh majoriti rakyat Malaysia yang berpunca daripada skandal penyelewengan wang rakyat dan rasuah yang berleluasa.

“Kerjasama ini telah lama diusahakan, iaitu sejak sebelum PRU ke-14 lagi. Ianya bukan perkara baharu seperti didakwa di dalam surat ini,” kata Khalid.

Khalid mendakwa, sikap dan kelakuan Abdul Hadi boleh dinamakan ‘gutter politics” atau politik longkang dan tidak lagi layak dilayani apatah lagi diikuti.

Justeru beliau menyeru kepada ahli dan pimpinan PAS untuk meninggalkan parti itu secara beramai-ramai.

“PAS telah jauh terpesong dari dasar perjuangan Islamnya dan sekarang ini merupakan parti Machievelli yang menganggap matlamat menghalalkan cara. Ini termasuk menipu, memfitnah, adu-domba, perkauman
dan merompak harta rakyat,” dakwa Khalid.-SM

 

(Visited 100 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button