Nasional

UNESCO pilih Malaysia untuk bekerjasama anjur aktiviti kebebasan media Asia Pasifik

UNESCO teruja untuk berkerjasama dengan Malaysia dalam menganjurkan aktiviti peringkat serantau berhubung kebebasan media di peringkat Asia-Pasifik pada tahun depan, demikian dinyatakan di sini.

Aktiviti berkenaan mungkin dalam bentuk forum atau seminar media antarabangsa, kata Penolong Ketua Pengarah Komunikasi dan Maklumat Unesco, Moez Chakchouk.

Beliau menyampaikan mesej itu kepada Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Suriani Ahmad semasa mengunjungi beliau di pejabatnya di Paris.

Suriani telah menghadiri mesyuarat Suruhanjaya Komunikasi dan Maklumat pada Persidangan Agung Ke-40 Unesco.

Chakchouk turut memuji Malaysia berhubung pencapaiannya dalam menyokong kebebasan media.

Menyatakan Malaysia telah mencatatkan banyak kejayaan dalam menyokong kebebasan media, beliau berkata negara itu turut “menunjukkan iltizam untuk berkerjasama dengan kami”.

“Acara-acara serantau akan diperlukan untuk menggalakkan literasi media di peringkat Asia Pasifik jadi mungkin Malaysia boleh menjadi tuan rumah bagi acara tertentu pada 2020.

“Kami mahu mengadakan libat urus dengan kerajaan Malaysia untuk menggalakkan negara lain untuk mencontohi pencapaian Malaysia,” katanya.

Chakchouk berkata kemajuan dicapai Malaysia dalam menangani isu berkaitan dengan kebebasan media menunjukkan keseriusan kerajaan dalam memastikan kelancaran liputan berita.

Ini merupakan sesuatu yang positif dalam usaha pembaharuan media global, katanya.

Menurut Indeks World Press Freedom 2019 dikumpulkan oleh Reporters Without Borders (RSF), Malaysia naik sebanyak 22 mata tangga kepada 123 sebelumnya daripada 180 negara.

Ia turut mengatasi negara Asia Tenggara yang lain. Indonesia menduduki tangga 124, Filipina (134) Thailand (136), Myanmar (138), Kemboja (143), Singapura (151), Brunei Darussalam (152), Laos (171) dan Vietnam (176).

Laporan RSF menyatakan persekitaran secara umumnya bagi wartawan di Malaysia adalah lebih relaks, tapisan sendiri telah menurun dengan ketara dan media cetak kini menawarkan pelbagai sudut pandangan yang lebih luas dan seimbang. – BERNAMA

(Visited 135 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button