Politik

Khairy sedia lepaskan jawatan menteri jika itu diminta pucuk pimpinan

AHLI Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata beliau akan akur dengan sebarang keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO termasuk meletak jawatan sebagai ahli jemaah menteri sekiranya pucuk pimpinan parti itu memutuskan sedemikian.

“Sekiranya itu keputusan MT, mengarahkan ahli UMNO untuk menarik diri (meletak jawatan dalam kerajaan), sebagai ahli UMNO saya pastinya terikat dengan keputusan MT itu,” kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu pada sidang media, di sini hari ini.

UMNO dijangka membincangkan beberapa usul termasuk usul menolak kerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya  Umum ke-15 semasa mesyuarat MT esok.

Semalam, Ahli Parlimen Machang Datuk Ahmad Jazlan Yaakub meletak jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia berkuat kuasa esok (6 Jan).

Sebelum ini beliau dilaporkan berkata bersedia melepaskan jawatan tersebut sekiranya kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak membubarkan Parlimen menjelang akhir bulan ini.


Mengenai desas-desus ketidakstabilan dalam UMNO berikutan perkembangan semasa parti itu sekarang, Khairy berkata perbezaan pendapat dalam kalangan ahli  adalah perkara biasa bagi mana-mana parti politik.

“Kami terikat pada keputusan MT esok kerana kami adalah sebuah parti politik dan perlu menunjukkan satu bentuk disiplin. Sekiranya pucuk pimpinan tertinggi dalam UMNO iaitu MT memutuskan sedemikian maka kami akan akur.

“Jika anda tidak setuju dengan keputusan itu maka anda perlu keluar parti. Itu sahaja,” katanya.

Ditanya sama ada beliau terbuka untuk bekerjasama dengan parti lain, Khairy mengulangi pendiriannya bersetuju dengan keputusan MT UMNO sebelum ini untuk tidak bekerjasama dengan DAP atau PKR. – BERNAMA

(Visited 261 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button