Jenayah

Lebih 300 tekong, warga tempatan dalang seludup warga asing diburu

Pihak berkuasa sedang memburu lebih 300 tekong dan dalang warga tempatan yang dikenal pasti terlibat dalam kegiatan penyeludupan pendatang tanpa izin ke dalam negara.

National Task Force (NTF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan warga tempatan ini, khususnya yang terlibat dalam industri maritim seperti nelayan, pemilik dan operator bot serta pemancing, boleh didakwa mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, dan akan dikenakan tindakan keras oleh pihak berkuasa jika didapati bersalah.

Menurutnya mereka juga akan berdepan dengan tindakan pembatalan lesen menangkap ikan, memancing dan lesen mengoperasikan bot penumpang atau rekreasi sekiranya didapati terlibat, dan tindakan penguatkuasaan ini bukan sahaja tertumpu di seluruh kawasan perairan negara, tapi turut merangkumi semua sempadan darat.

“NTF menerusi Ops Benteng akan menggempur sehingga ke akar umbi bagi memastikan tiada pendaratan pendatang tanpa izin khususnya sejak Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan bagi mengelak risiko jangkitan wabak COVID-19, serta tiada pelanggaran undang-undang dilakukan oleh mana-mana pihak,” menurut kenyataan itu.

Ops Benteng yang diaktifkan sejak bulan lepas di bawah NTF merupakan kerjasama antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Kementerian Kesihatan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Imigresen dan Jabatan Sukarelawan Malaysia.- BERNAMA

(Visited 110 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button