fbpx
Hiburan

Khai Bahar sanggup ke Seremban demi Aina Abdul

SANGGUP ke Seremban, Negeri Sembilan demi mencari keserasian untuk menyanyi bersama Aina Abdul menerusi lagu berjudul Nafas Cinta.

Menurut Aina, dia tidak menyangka Khai sanggup ke Seremban untuk menjalani proses rakaman.

“Bagi mencipta keserasian, bukan boleh terus dapat. Disebabkan itu Khai sanggup datang ke Seremban untuk buat proses rakaman.

“Pertama, Khai datang rakam demo dulu untuk kami belajar dan fahamkan melodi dan maksud lagu. Kali kedua baru buat rakaman sebenar. Jadi, ia ambil masa juga.

“Tapi, Khai sangat membantu dan dia sangat menyokong. Walaupun saya baru, tapi dia sangat merendah diri. Khai tidak kisah kena datang ke Seremban, tapi dia sangat memberikan kerjasama,” katanya.


Berkongsi mengenai kerjasama yang terjalin, menurut Aina ia tercetus selepas mereka berduet dengan menyanyikan semula lagu Just Give Me A Reason dan ditayangkan di saluran YouTube masing-masing.

“Saya memang jarang ada ‘contact’ dengan penyanyi lain. Apabila Khai sudi buat ‘cover’ di YouTube, saya sangat gembira. Tidak menjangka pula duet kami itu mendapat maklum balas sangat baik daripada peminat kami.

“Kemudian, Khai menjemput saya untuk menyanyi dengannya pada Konsert Minggu Ini Bersama Khai Bahar di RTM. Ketika itu, saya cakap pada pengurus, alang-alang sudah berkenalan kita boleh buat satu lagu. Jadi, saya dan pengurus ‘approach’ pihak Khai dan dia pun okay.

“Saya terus buat melodi lagu Nafas Cinta dan Khai pun berikan input untuk melengkapkan lagu ini. Jadi, melodi dan lirik lagu ini kami hasilkan bersama,” katanya.

Sementara itu, Khai, 26, atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin menyifatkan lagu Nafas Cinta sesuatu yang istimewa buat peminat mereka berdua.

“Macam sebelum ini ramai tertanya-tanya siapa rakan duet terbaru saya. Jadi, apabila projek ini dikongsikan di Instagram, semua tidak sabar menunggu lagu ini. Apa boleh dikatakan, ini adalah adalah hadiah buat peminat yang sentiasa menyokong kerjaya kami.

“Saya berharap lagu ini dapat diterima baik dan boleh pergi lebih jauh. Dalam masa sama, semoga duet saya dan Aina boleh membuatkan anda jatuh cinta dengan lagu ini. Terima kasih kepada semua yang sentiasa memberikan sokongan kepada saya,” katanya.

Dalam masa sama, Khai mengakui bertuah dapat berduet dengan Aina selain mengagumi bakat besar dimiliki penyanyi lagu Semalam itu.

“Alhamdulillah, perancangan kami untuk menghasilkan projek ini dipermudahkan. Macam sebelum ini saya pernah berduet dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Siti Nordiana. Kali ini, saya bertuah kerana diberi peluang untuk berduet dengan Aina pula.

“Setiap rakan duet saya mempunyai keistimewaan dan aura masing-masing. Saya melihat setiap tawaran yang datang adalah kesempatan terbaik untuk saya memajukan diri. Bagi saya bekerjasama dengan ramai orang membolehkan saya menimba pengalaman baru,” katanya.

Lagu Nafas Cinta akan dilancarkan di semua platform muzik digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox, Youtube Music, Channel YouTube dan juga Apple Music dan serentak itu turut ditayangkan video muzik Nafas Cinta pada 18 Disember 2020. -SM

(Visited 148 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button