
Khabib tetap tenang walaupun diusir dari pesawat
Bekas juara UFC, Khabib Nurmagomedov, telah diusir dari penerbangan Frontier Airlines selepas berlaku pertikaian mengenai tempat duduknya di barisan keluar kecemasan. Insiden ini berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Harry Reid, Las Vegas, ketika Khabib dalam perjalanan ke Los Angeles.
Menurut laporan, pramugari menyatakan kebimbangan mengenai kemampuan Khabib untuk berkomunikasi dengan jelas dalam bahasa Inggeris semasa kecemasan, memandangkan beliau duduk di barisan keluar kecemasan. Khabib menegaskan bahawa beliau fasih berbahasa Inggeris dan bersedia membantu jika diperlukan. Namun, selepas perbincangan yang tegang, beliau diminta menukar tempat duduk atau meninggalkan pesawat. Khabib akhirnya diiring keluar dari pesawat tersebut.
Selepas insiden itu, Khabib mengkritik tindakan kru penerbangan melalui media sosial, menyatakan bahawa beliau telah mematuhi semua prosedur yang ditetapkan dan mempertikaikan sama ada tindakan terhadapnya dipengaruhi oleh faktor perkauman atau kebangsaan. Beliau kemudian menaiki penerbangan lain ke Los Angeles untuk menyokong rakan sepasukannya dalam acara UFC 311.
Pihak Frontier Airlines telah mengesahkan kejadian tersebut dan menyatakan bahawa mereka sedang menyiasat insiden berkenaan. Mereka juga telah memulangkan wang tiket kepada Khabib.
Khabib menerusi aplikasi X berkata, walaupun beliau menggunakan bahasa yang sopan dan memahami segala-galanya namun wanita berkenaan masih berkeras untuk menghalau dari tempat duduk.
“Pertama sekali, saya perlu menjelaskan bahawa ia adalah Frontier Airlines bukan Alaska Airlines. Dari awal wanita yang datang kepada saya itu tanya soalan dengan sangat kasar.
“Kenapa ia berlaku adakah disebabkan kaum, kebangsaan atau yang lain, saya tidak pasti,” katanya pada Isnin.
Tambah Khabib, selepas dua minit perbualan, wanita berkenaan menghubungi keselamatan dan beliau diarah keluar dari pesawat tersebut.
“Saya ambil masa 1.5 jam sebelum menaiki penerbangan daripada syarikat lain dan bertolak ke destinasi.”Saya melakukan yang terbaik untuk kekal tenang dan hormat seperti yang anda lihat pada video.
“Tetapi ahli krew itu boleh melakukan yang lebih baik pada masa akan datang dan hanya bersikap baik dengan pelanggan,” ujarnya.