BeritaPendidikan

Parkir terapung bawa tuah kepada SK Abi

Dinobatkan Johan Peringkat Kebangsaan Pertandingan Program Satria Cipta

MENCIPTA atau mewujudkan sesuatu program di peringkat sekolah biarlah bermanfaat kerana itu bukan sahaja mengangkat nama sekolah yang berkenaan tetapi yang lebih penting, para pelajar sekolah mendapat keberuntungannya.

Sekolah Kebangsaan Abi, Perlis telah dinobatkan sebagai Johan Peringkat Kebangsaan Pertandingan Program Satria Cipta baru-baru ini.

Pihak sekolah telah dianugerahkan plak dan sijil kemenangan beserta peranti berupa enam tablet untuk kegunaan pembelajaran.

Pastinya pihak sekolah atau pasukan SK Abi bertuah kerana murid-murid dibimbing oleh guru, Faisal Salim sehingga sekolah berkenaan menjadi juara program.

Apakah sebenarnya Program Satria Cipta ini? SUARA MERDEKA difahamkan, program ini bertujuan memupuk rasa cinta pelajar kepada kesenian, warisan dan budaya nenek moyang dan sekaligus, menggunakannya untuk menyelesaikan masalah harian di zaman serba moden ini.

Bersama dengan ilmu kesenian, warisan dan budaya, Program Satria Cipta juga memperkenalkan kepada para pelajar, cara penyelesaian masalah berstruktur iaitu Design Thinking.

Ciptaan atau rekaan Sekolah Kebangsaan Abi iaitu Parkir Terapung telah dipilih sebagai pemenang oleh juri professional.

Parkir Terapung ini dibangunkan oleh murid-murid SK Abi untuk menyelesaikan masalah kereta tenggelam di kawasan banjir dengan inspirasi dari rumah rakit tradisional.

Sementara itu, SK Kampung Senau, Sarawak mendapat tempat kedua dan tempat ketiga, SK Taman Jasmin, Selangor.

Sebanyak 48 buah sekolah dari seluruh negara bertanding dan pertandingan akhir dijalankan secara lintas langsung secara dalam talian.

Untuk rekod, Program Satria Cipta dianjurkankan oleh Mediafoundry Sdn. Bhd. dan Yayasan Hasanah dengan sokongan dari Bahagian Sukan, KoKurikulum dan Kesenian serta Kementerian Pendidikan. – SM

 

(Visited 802 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button