fbpx
Politik

Kewujudan PN satu pencapaian terbaik, satukan parti Melayu – Hadi

KEWUJUDAN Perikatan Nasional (PN) adalah satu pencapaian terbaik dengan pencapaiannya jauh lebih baik berbanding Pakatan Harapan (PH).

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, PN juga nyata berjaya menyatukan parti-parti Melayu dan parti lain yang menyokong PN serta mendapat dokongan rakyat.

Katanya, PN mungkin baharu enam bulan mentadbir negara tetapi pencapaiannya lebih baik dan positif, berbanding era pentadbiran PH.

Katanya, perbezaan jelas dapat dilihat dalam kalangan menteri antara PN dan PH.

“Banyak perbezaan boleh ditunjukkan. Kalau dahulu ketika PH, menteri-menterinya asyik sebut kerajaan dahulu dan apabila kita ambil alih (kerajaan), perbezaannya amat positif.


“Kewujudan PN sendiri adalah pencapaian terbaik di mana kita berjaya menyatukan parti-parti Melayu dan parti lain yang menyokong PN serta mendapat dokongan rakyat.

“Malaysia diterajui kerajaan PN juga antara negara yang berjaya mengawal dan menangani COVID-19 serta diiktiraf dunia,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran PN, hari ini.

Beliau juga menegaskan bahawa kerajaan yang mentadbir negara hari ini dibentuk melalui proes demokrasi berparlimen.

Katanya, ia bukan kerajaan ‘tebuk atap’ seperti didakwa pembangkang.

“Perubahan dibuat melalui demokrasi berparlimen, bukan pintu belakang, tebuk atap, tidak.

“Melalui Ahli Parlimen yang dipilih rakyat, mempunyai jumlah Ahli Parlimen yang cukup dan melibatkan Yang di-Pertuan Agong dan prinsip perlembagaan serta melalui proses demokrasi yang betul.

“Ada orang kata lompat parti, orang kata lompat parti ada yang baik dan ada yang tak baik. Lompat menghadapi bahaya untuk selamat, ia lompat yang baik. Lompat terjun kepada bahaya, itu tidak baik.

“Lompat untuk menyelamatkan kerajaan, untuk membentuk satu perubahan, sementara itu kita mendapat dokongan rakyat melalui pilihan raya kecil,” katanya.-SM

Show More

Related Articles

Back to top button