Ekonomi

Keuntungan bersih Astro susut 58.09 peratus

Keuntungan bersih Astro Malaysia Holdings Bhd (Astro) susut sebanyak 58.09 peratus dari tahun ke tahun kepada RM73.84 juta untuk suku pertama berakhir 30 April 2020 (suku pertama 2021) daripada RM76.20 juta yang dicatatkan sebelum ini.

Penyusutan tersebut berpunca daripada penurunan dalam pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) termasuk kos pembiayaan bersih yang lebih tinggi, katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

Margin EBITDA Astro jatuh 4.5 peratus kepada RM31.4 juta dalam suku pertama 2021 berbanding RM35.9 juta dalam suku pertama, terutamanya disebabkan oleh peningkatan dalam kos kandungan, kos barangan dan kos berkaitan kakitangan.

Hasil bagi suku semasa juga merosot 14.6 peratus dari tahun ke tahun kepada RM1.05 bilion daripada RM1.23 bilion disebabkan oleh penurunan dalam langganan dan pendapatan pengiklanan di tengah-tengah pandemik COVID-19.

“Kumpulan telah terjejas oleh pengurangan pengiklanan dan sekatan dalam operasi yang berkaitan dengan penjualan serta pepasangan,” kata Astro.

Memandangkan banyak pertubuhan komersial tidak dibenarkan beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dikuatkuasakan mulai 18 Mac lepas, kumpulan secara proaktif telah memperkenalkan langganan dan pengaturan pembayaran yang lebih fleksibel.

“Secara kolektif, ini telah memberi kesan ke atas hasil kumpulan yang diiktiraf dalam tempoh tersebut dan pelemahan yang semakin bertambah dalam penerimaan perdagangan,” katanya.

Pengerusi Astro Tun Zaki Azmi dalam satu kenyataan berasingan berkata sebagai penyedia perkhidmatan yang penting, Astro terus beroperasi semasa PKP.

“Walaupun menerima kesan pandemik COVID-19, Astro terus mampu menjana tunai, melaksanakan penjimatan dan lebih proaktif dalam pengurusan modal.

“Kunci kira-kira kami kekal kukuh untuk mengharungi cabaran semasa,” katanya.

Dari suku ke atas suku, jumlah aset kumpulan menyusut sebanyak 0.6 peratus kepada RM6.16 bilion dalam suku pertama 2021 daripada RM6.20 bilion yang direkodkan pada suku keempat 2020, manakala jumlah liabiliti menurun 1.2 peratus kepada RM 5.20 bilion berbanding RM5.26 bilion sebelum ini.

Astro juga mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak satu sen sesaham, yang akan dibayar pada 17 Julai 2020.  – BERNAMA

(Visited 413 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button