Travel

Keunikan empat pulau yang membentuk Wakatobi.

WAKATOBI yang terletak di tenggara Pulau Sulawesi merupakan gabungan empat buah pulau yang terkenal dengan keindahan alam dasar laut.

Wakatobi merupakan akronim bagi empat pulau iaitu Pulau Wangi-Wangi, Pulau Kaledupa, Pulau Tomia dan Pulau Binongko.

Keempat-empat pulau tersebut menjadi pulau terbesar di taman nasional tersebut.

Wakatobi juga digelar sebagai kawasan terumbu penghalang (barrier reef) yang terbesar di Indonesia dan kedua terbesar di dunia setelah Great Barrier Reef yang terletak di Australia.

Keindahan dasar laut yang dimiliki oleh pulau tersebut menjadikannya tempat menyelam terbaik di dunia.


Pada 2012, The United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) telah menetapkan Wakatobi sebagai Rizab Biosfera Bumi ke- 8 Indonesia.

Ini kerana, Wakatobi juga terkenal dengan budaya dan tempat-tempat bersejarah.

Keempat-empat kumpulan pulau Wakatobi mempunyai keunikan yang tersendiri.

Pulau Wangi-Wangi

Pulau Wangi-wangi merupakan ibu kota Kabupaten Wakatobi  yang mempunyai 14 desa, enam kota dan lima pantai serta dikenali sebagai Pulau Wanci oleh penduduk setempat.

Terdapat pelbagai daya tarikan yang boleh dinikmati oleh pelancong antaranya ialah menyasikan tarikan lumba-lumba dan bersiar-siar di Pantai Sousu atau Pantai Waha yang terkenal dengan pokok-pokok yang serupa dengan pokok cemara.

Jika pelancong pergi ke pantai Moli’I Sahatu yang terletak di Desa Patuno, pelancong dapat melihat beratus mata air di antara batu dan pasir pantai.

Selain memiliki pantai yang cantik, pulau ini juga mempunyai tiga telaga gua yang airnya bersih dan jernih serta suasana yang aman iaitu Telaga Gua Topa di Kota Mandati, Telaga Gua Kontamale di Kota Wanci dan Telaga Gua Tee Kosapi di Kota Wanci.

Pulau Kaledupa 

Pulau Kaledupa merupakan Kawasan pemuliharaan bakau.

Ketua Forum Kaledupa Toudani La Beloro berkata pemuliharan bakau telah dilakukan sebelum Wakatobi menjadi Kawasan taman nasional.

Menurut kepercayaan setempat, tanaman bakau merupakan perlindung bagi ribut, taufan dan pencerobahan hidupan laut seperti kerang dan ketam.

Di Pulau Kaledupa terdapat sebuah desa yang dikenali sebagai kampung tenun iaitu Desa Pajam.

Desa tersebut juga dikenali dengan seni mempertahankan diri khas Wakatobi yang diturunkan secara turun- temurun.

Pulau Kaledupa juga mempunyai pantai-pantai yang cantik seperti Pantai Sombano, Pantai Peropa dan Pantai Hoga.

 

Pulau Tomia

Pulau Tomia merupakan pulau yang paling kecil antara empat pulau lain yang terbahagi kepada dua daerah iaitu Tomia Timur yang terletak di Usuku dan Tomia Induk yang terletak di daerah Waha.

Pulau Tomia dihiasi dengan bukit, lembah dan savana serta terdapat juga tempat-tempat bersejarah seperti Benteng Patuha yang menjadi tempat perlindungan daripada penjajah.

Tomia juga menjadi tempat menyelam yang terkenal kerana mempunyai 40 lokasi menyelam yang menarik seperti Karang Roma.

Pelancong juga dapat menyaksikan pesta adat Safar jika berkunjung ke Pulau Tomia pada bulan Safar.

Pulau Binongko

Pulau Binongko merupakan tempat bagi tukang besi yang terletak di hujung tenggara Kepulauan Wakatobi.

Apabila berkunjung ke Pulau Binongko, pelancong akan disambut dengan tarian tradisonal dan muzik gambus.

Kemudian, pelancong akan dibawa melihat proses besi dan baja mula dari penempaan hingga pengasahan.

Di pulau itu terdapat satu bukit untuk peminat hiking iaitu Bukit Koncu.

Bukit yang sejuk dan nyaman itu merupakan tempat bersejarah yang dipercayai menjadi lokasi penempatan pertama di pulau tersebut.

Inilah keunikan yang terdapat di empat kumpulan pulau yang membentuk Wakatobi.- SM

(Visited 29 times, 2 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button