Nasional

Anwar desak Muhyiddin mohon maaf

PERDANA Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim mendesak Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin memohon maaf atas fitnah yang dilemparkan terhadapnya.

Anwar dalam satu kenyataan ringkasnya berkata, beliau mengemukakan sebahagian dokumen perjanjian Assignment for Financial Service Reserve Account (FSRA) terkait Jaminan Kerajaan kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) yang telah ditandatanganinya.

“Justeru itu, saya mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memohon maaf atas fitnah yang dilemparkan kepada saya,” katanya.

Terdahulu, memetik laporan Sinar Harian, Muhyiddin mengemukakan surat tuntutan (LOD) kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kenyataan mengenai pelupusan hutang peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) selain menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada Perdana Menteri.

LOD disediakan firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership bertarikh 18 Julai 2023 (Selasa) itu dihantar ke dua alamat Anwar iaitu di kediamannya di Kajang, Selangor dan Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya.

Menerusi dokumen tersebut, firma itu menyatakan, Anwar yang juga Menteri Kewangan telah membuat kenyataan fitnah dengan niat mencemar, menjatuhkan dan/atau merosakkan reputasi Ahli Parlimen Pagoh itu.

“Keseluruhan ucapan Datuk Seri di majlis sambutan Hari Peneroka Felda 2023 itu telah diterbitkan secara siaran langsung melalui sidang ‘Facebook Live’ akaun Facebook milik Datuk Seri sendiri yang menggunakan nama Anwar Ibrahim dan telah dipetik semula dan disebarkan secara meluas oleh media massa dan media sosial.

“Setakat 18 Julai 2023, terbitan tersebut telah ditonton dalam jumlah lebih 63,900 kali.

“Walaupun mengetahui penjelasan Anakguam (Muhyiddin) kami pada 8 Julai 2023, Datuk Seri masih meneruskan fitnah terhadap Anakguam kami di sesi dialog di Universiti Utara Malaysia (UUM),” menurut dokumen berkenaan.

Dalam pada itu, LOD terbabit turut menuntut Perdana Menteri untuk mengemukakan surat atau dokumen yang beliau tandatangan sebagai Menteri Kewangan pada akhir Jun 2023 bagi meluluskan pelupusan hutang peneroka Felda bernilai RM8.3 bilion dalam tempoh 24 jam selain menarik balik kesemua kenyataan fitnah dan memadamkan penyiaran dari akaun Facebook serta laman web, platform ia disiarkan.

Anwar juga dituntut membuat permohonan maaf tanpa syarat dan terbuka secara bertulis, menyiarkan yang sama di akaun Facebook dan semua platform kenyataan berkenaan disiarkan.

Sementara itu, dalam kenyataannya, Kementerian Kewangan (MOF) ingin mengesahkan bahawa perjanjian Assignment for Financial Service Reserve Account (FSRA) telah ditandatangani oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 26 Jun 2023.

Seperti diumumkan melalui siaran akhbar MOF bertarikh 28 Jun 2023, perjanjian ini melibatkan Jaminan Kerajaan sebanyak RM9.9 bilion kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) untuk menstruktur semula pinjaman agensi tersebut melalui terbitan sukuk dan kredit pusingan dalam usaha memulihkan kedudukan kewangan FELDA.

Di bawah perjanjian, Kerajaan akan membiayai pembayaran balik sukuk tersebut melalui peruntukan geran RM990 juta setiap tahun untuk tempoh 10 tahun.

Sehubungan itu, MOF juga ingin mengesahkan bahawa penyaluran pertama RM990 juta telah dilaksanakan pada 18 Julai 2023 selaras dengan peruntukan yang telah disediakan di dalam Belanjawan Madani 2023.

Penyempurnaan perjanjian jaminan Kerajaan dan penyaluran peruntukan kepada FELDA merupakan elemen penting yang dilaksanakan Kerajaan Perpaduan bagi memastikan kelangsungan FELDA antara lain mengambil kira antaranya impak kepada aliran tunai dan kedudukan kewangan FELDA berikutan penghapusan hutang peneroka FELDA. – SM

BACA Jelajah Perpaduan Madani pentas pencerahan mengenai Felda

BACA Kerajaan lulus dana hampir RM1 bilion untuk kelangsungan Felda

(Visited 45 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button