Nasional

Kayuhan merdeka Raja Muda Perlis semarakkan Hari Kebangsaan

SAMBUTAN Hari Kebangsaan ke-63 keseluruhannya agak suram di seluruh negara.

Selain tiada acara kira turun detik 12 malam, perarakan perbarisan juga tidak diadakan kerana negara masih lagi bertarung bagi memutuskan rantaian pandemik Covid-19.

Justeru kehadiran Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama 120 ahli Tim Tayar Golek RMPs di Pulau Pinang, semalam telah menyemarakkan Sambutan Hari Kebangsaan kali ini.

Sepanjang kayuhan itu para peserta bukan sahaja mengibarkan Jalur Gemilang, bahkan turut melaungkan Merdeka! setiap kali melalui kawasan kelompok orang ramai.

Raja Muda Perlis bersama grup berkenaan turut singgah di beberapa lokasi bagi beramah mesra dengan masyarakat setempat dan pada yang sama menyemarakkan semangat merdeka.

Kayuhan itu, yang merupakan inisiatif baginda sendiri pada hari ini, turut didedikasikan kepada para petugas barisan hadapan sebagai wira negara dalam menjaga negara dengan baik hingga kini.

“Jasa pahlawan dan wira negara amatlah bernilai dan tidak terbalas oleh kita semua. Negara kita aman dan selamat sekarang adalah kerana hasil kerja keras pemimpin-pemimpin terdahulu dan juga wira-wira negara yang bersengkang kudrat dan tenaga dalam memastikan rakyat terus selesa dalam membentuk negara harmoni,” titah baginda di Georgetown, Pulau Pinang, semalam.

Baginda turut mengingatkan rakyat Malaysia agar terus bertanggungjawab menjaga diri dan sesama sendiri ketika dunia sedang mendepani pandemik COVID-19.

“Maka semangat patriotisme yang tinggi mestilah disemai sepenuhnya dalam jiwa raga setiap rakyat Malaysia untuk kita sama-sama berasa lebih sayang pada negara kita,” titah baginda.

Sejak 2014, Tuanku Syed Faizuddin Putra akan berkayuh di sekitar selatan Thailand dan mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang kayuhan itu bagi menunjukkan semangat patriotisme dengan diiringi Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Kerajaan Negeri serta pihak swasta di Perlis.

Bagaimanapun, susulan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan sempadan negara yang masih ditutup, baginda berkenan memilih Pulau Pinang pada tahun ini untuk menyemarakkan lagi semangat Hari Kemerdekaan.

Tuanku Faizuddin Jamalullail turut diberi taklimat tentang perkhidmatan sewa basikal di sepanjang laluan berbasikal di Pulau Pinang.

Kayuhan sejauh 18 kilometer yang disertai kira-kira 120 orang itu bermula dari Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di Padang Kota dan berakhir di Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.

Jalur Gemilang turut dikibarkan sepanjang kayuhan itu.

Baginda turut berkenan menyempurnakan simbolik penanaman pokok ‘Sea Hibiscus’ di GSD Cycling Park, Queensbay sebagai kenang-kenangan.

Tuanku Faizuddin Putra Jamalullail turut menanam pokok ketika singgah di kawasan pertanian bandar yang merupakan inisiatif Majlis Bandaraya Pulau Pinang bersama penduduk setempat bagi menjaga laluan khas basikal di negeri itu.

Tuanku Syed Faizuddin Putra dan delegasi turut melawat Perkampungan Cina di Jeti Lee dan Pulau Jerejak serta beramah mesra dengan penduduk sekitar.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Datuk Bandar MBPP Datuk Yew Tung Seang dan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abd Manan.

Kayuhan itu turut disertai Penasihat Undang-Undang Negeri Mohd Radhi Abas, Pegawai Kewangan Negeri Nasaruddin Abdul Muttallib, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Panglima Markas Briged Ke-30 Infantri Brigidier Jeneral Hassan Embong, Ketua Polis Negeri Datuk Surina Saad dan Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis Profesor Dr Badlishah Ahmad.

(Visited 379 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button