Politik

Ketua penerangan vs ketua penerangan

Ketua Penerangan UMNO Shahril Hamdan meminta Ketua Penerangan PPBM Wan Saiful Wan Jan supaya berhenti menyebar kebencian.

”Sekali lagi menyerang UMNO dengan tuduhan hanya untuk memecah belah parti UMNO. Wan Saiful mengatakan bahawa YAB Perdana Menteri menjadi PM kerana Bersatu calonkan beliau, UMNO tidak mencalonkan beliau sebagai Perdana Menteri.

“Ini bukan kenyataan yang pertama beliau menyerang UMNO, tetapi sudah berkali-kali. Kenyataan balas saya beberapa minggu lepas jelas membuktikan sekali lagi, PPBM sudah mula kurang yakin dengan kemampuan parti sendiri. Kenyataan begini hanya dibuat kerana PRN Johor makin dekat,” kata Shahril

Pertama, UMNO dan Barisan Nasional bermesyuarat pada 17 Ogos 2021 untuk memutuskan calon Perdana Menteri. Dengan restu dan persetujuan YB Presiden, YB Timbalan Presiden, dan Ahli MKT, UMNO dan BN hantar hanya SATU nama Calon iaitu YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri. Tidak ada pertikaian, Dato’ Sri Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri kerana UMNO mencalonkan beliau sebagai satu-satunya calon PM.

Kedua, tuduhan ‘Kalau UMNO silap-silap dia nak Zahid Hamidi’. Wan Saiful mungkin kurang faham dengan semangat parti yang bermusyawarah sebelum membuat keputusan. Tidak pernah sesekali pun YB Presiden UMNO tuntut dicalonkan sebagai Perdana Menteri. Inilah realitinya semasa runtuhnya kerajaan Pakatan Harapan dan ini juga terjadi semasa Perdana Menteri bertukar.

Malah pada 16 Ogos 2021, Presiden UMNO mengeluarkan kenyataan tidak pernah terlintas untuk beliau menamakan diri sebagai calon Perdana Menteri walaupun mengepalai parti terbesar negara. Ini jelas sekali lagi bahawa UMNO memilih YAB Perdana Menteri sebagai calon selepas Mesyuarat memutuskan dengan sebulat suara.

Ketiga, tuduhan ‘Kluster Mahkamah’ menyebabkan Pilihan Raya Negeri dijalankan. Ketua Penerangan PPBM mungkin lupa bahawa Bersatu sendiri mengugut untuk tarik sokongan, lagi-lagi apabila Presiden PPBM sendiri mengugut untuk ‘tekan butang’ semasa PRN Melaka. Dalam kata-kata Tan Sri sendiri ‘Saya tekan butang sekarang, jatuh Kerajaan Johor’.

Bukan kerana Kluster Mahkamah PRN ini dijalankan, tetapi kerana keadaan rapuh di Johor yang antaranya disebabkan oleh PPBM, PRN ini dijalankan.

Wan Saiful perlu berhenti menyemai benih kebencian, menjadi ejen pemecah belah dan menumpukan tenaga beliau ke arah menjual tawaran parti beliau sempena PRN Johor yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Kerana itulah yang UMNO dibawah pimpinan Presiden Datuk Seri Zahid akan lakukan. Ahli UMNO yakin dengan kebijaksanaan dan kewibawaan yang ada pada YB Presiden dan YAB Perdana Menteri. Majlis Kerja Tertinggi telah beberapa kali menyatakan bahawa UMNO menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri.

(Visited 297 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button