Belang BertempatParlimenPolitik

Ketua Pembangkang “biashe-biashe”: Parlimen Malaysia tetap umpama laman sarkis

SEPERTI yang dijangka dan tidak meleset walau sedikit pun, sidang Dewan Rakyat hari ini yang dimulakan dengan pelantikan Speaker Yang DiPertua yang baharu menyaksikan kesinambungan laman sarkis paparan Ahli-Ahli Parlimen.

Walaupun usul yang dibawa adalah untuk membuktikan keabsahan pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dalam kalangan ahli-ahli Parlimen, tiada bezanya tingkah laku yang dipaparkan oleh ahli-ahli dewan yang terpekik terlolong macam tercekik dek polong!

Kerajaan Perpaduan atau Kerajaan Campuran ataupun Kerajaan Tebuk Atap, apabila membahaskan satu-satu usul, perangai dan tingkah laku mereka tidak ubah seperti paparan pemain-pemain sarkis.

Rakyat yang menonton secara langsung Sidang Dewan Rakyat dari bangunan Parlimen hari ini sekali lagi menyaksikan kekecohan yang dibangkitkan oleh sebahagian besar daripada 13 Ahli Parlimen yang diberikan masa untuk membentangkan dan membahaskan usul.

Sejurus Johari Abdul mengangkat sumpah sebagai Yang DiPertua Dewan Rakyat dan disusuli dengan Ahli-Ahli Parlimen mengangkat sumpah maka bermulalah sesi bertikam lidah.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin nampak amat tenang dalam membahaskan usul keabsahan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Dalam tenang, Hamzah masuk jarum dengan kata-kata sinis yang terpacul dari mulutnya dengan menegaskan, usul keabsahan itu merupakan gimik.

Apatah lagi pemimpin-pemimpin gabungan yang membentuk Kerajaan Perpaduan itu telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Jumaat lalu yang menyatakan sokongan mereka terhadap Anwar.

Tidak sah kalau seorang Yang Berhormat sedang bercakap, Yang Berhormat lain akan bingkas bangun untuk bertanya soalan dan terjerit-jerit sehingga kita yang mengikuti sesi Parlimen hari ini yang disiarkan secara langsung, hilang tumpuan dan tidak tahu biji butir apakah yang dibangkang atau ditentang.

Usul yg dibawa oleh YAB Petrajaya ini membawa kepada banyak persoalan: Apakah usul ini mempersoalkan kuasa dan keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atau adakah kerana kerajaan yg dibentuk ini adalah sebuah kerajaan minoriti?

Demikian lontaran persoalan yang dibawa oleh Hamzah siang tadi.

Selaku Ketua Pembangkang, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Perikatan Nasional (Bersatu) Larut menarik perhatian ahli-ahli Parlimen sebelah sana tentang isu lompat parti.

Katanya, akta itu bertentangan dengan prinsip asas demokrasi berparlimen seperti yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Sambil menyifatkan akta anti-lompat parti itu tidak sah dan haram, kata Hamzah, “kalau kebebasan bersuara Ahli Parlimen pun boleh disekat, kebebasan rakyat untuk melakukan perkara yang sama juga disekat.”

Sesi hari ini digulung oleh Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Said.

Pun begitu, Ahli Parlimen Kota Baharu mendesak dan mempersoalkan tentang akta anti-lompat parti.

Dalam desakannya itu, Ahli Parlimen Kota Bahru ini pada mulanya meminta Azalina menjawab soalannya.

Kemudian, dipusing kata dengan mengatakan terpulang sama ada Azalina mahu menjawab atau tidak soalannya sejurus Azalina mahu menjawab soalan yang dilontarkan kepadanya.

Kata Azalina yang cukup tajam, “Yang Berhormat saya tahu, dulu pernah jadi Menteri Undang-Undang dan ketika itu, saya Timbalan Speaker!”

Ulas panjang hari ini, kita sambung esok untuk menyaksikan kemeriahan sarkis paparan Ahli-Ahli Parlimen yang diberi mandat oleh rakyat sebagai wakil rakyat di Parlimen.

Esok sidang Dewan Rakyat akan bersambung pada pukul 10 pagi. – SM

(Visited 1,699 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button