Nasional
Trending

KPN sahkan 17 individu ditahan, tapi tak sebut ADUN Dengkil

KETUA Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador hari ini mengesahkan 17 individu ditahan dalam pemeriksaan di sebuah kondominium di Jalan Puchong, di sini, semalam.

Beliau berkata seramai 16 orang daripada yang ditahan itu didapati positif dadah.

“Pihak saya telah terima aduan bising terhadap sebuah kondominium berkenaan dan Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields telah menghantar pasukan polis untuk menyiasat kondominium itu.

Apabila anggota saya pergi membuat serbuan itu pada awal pagi Ahad, (kami) mendapati terdapat 11 lelaki dan enam wanita sedang berkhayal berhibur dengan muzik,” katanya pada sidang media khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) sempena pencapaian 2019 dan perancangan 2020 di Bukit Aman, di sini hari ini.

Abdul Hamid berkata kegiatan mereka itu mengganggu penghuni lain dan hasil pemeriksaan, polis menemui satu paket lutsinar dadah dipercayai ketamin seberat 0.5 gram, piring kaca yang mengandungi dadah dipercayai ketamin seberat 0.3 gram dan sebatang rokok yang berisi ceraian daun-daun dipercayai ganja.

“Selain itu, turut dirampas adalah daun terup dan juga 100 cip-cip yang dipercayai digunakan untuk kegiatan perjudian,” katanya.

Abdul Hamid berkata 16 individu telah diambil keterangan dan dibebaskan dengan jaminan polis, kecuali seorang wanita warga asing.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan nama-nama mereka yang ditahan kerana masih dalam proses siasatan.

Katanya, polis akan melakukan ujian saringan air kencing kedua terhadap individu terbabit sebelum mengambil tindakan susulan.

“Sekiranya positif, polis akan ambil tindakan untuk proses pendakwaan,” katanya.

Beliau berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 12, Seksyen 15 (1) dan Seksyen 6 (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 serta Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Media tempatan hari ini melaporkan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri dan empat pegawai khas ahli politik, antara 17 individu ditahan polis dalam operasi di sebuah kondominium di Jalan Puchong, di sini pada Ahad. – BERNAMA

(Visited 252 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button