Politik

Ketidakseragaman, isu politik dan wang sukar adakan PRN serentak

BEKAS Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri sukar diadakan serentak kerana ketidakseragaman negeri dalam isu politik dan wang .

Beliau tidak melihat ada masalah di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan yang ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH) untuk mengadakan PRN serentak.

Tetapi katanya, Kelantan, Terengganu dan Kedah pimpinan PAS dilihat cenderung tidak mengadakan PRN serentak kerana perancangan mereka sukar dijangka.

“Negeri kerajaan akan bersepakat membubarkan DUN serentak, tetapi bagaimana pula bagi negeri di bawah Perikatan Nasional? Mungkin mereka ada perkiraan lain,” katanya memetik laporan Utusan Malaysia.

Wan Ahmad berkata, jika PRN di enam negeri tidak diadakan serentak, jarak masa terlalu besar antara Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas pembubaran akan menyebabkan SPR terpaksa “bekerja” dua kali atau lebih.

Katanya lagi, PRN wajar diadakan serentak dan waktu paling ideal ialah hujung Jun atau Julai ini.

Beliau berkata, tiada halangan untuk SPR mengadakan PRN ketika itu sebaliknya cadangan mengadakan PRN pada Ogos kurang sesuai memandangkan ada DUN yang tempoh hayatnya tamat lebih awal.

“Kalau pembubaran berlaku untuk semua negeri, yang terbaiknya dalam tempoh satu atau dua minggu dari pembubaran DUN pertama maka semua DUN mempunyai masa dan memberi ruang untuk SPR menetapkan satu tarikh selari.

“Saya sentiasa menggesa dan berharap PRN akan berlaku serentak. Kalau ada negeri yang meletakkan kepentingan politik mengatasi perkara lebih mustahak maka akan berlaku penjarakan agak luas antara satu DUN dengan yang lain.

“Sebab itu, kalau tidak hujung Jun maka Julai adalah masa terbaik kerana masuk bulan Ogos, kerajaan perlu menumpukan sambutan Hari Kebangsaan,” jelas beliau.

Bulan lalu, Wan Ahmad dilaporkan berkata, kerajaan boleh jimat sehingga RM100 juta jika enam negeri mengadakan PRN serentak di mana kos itu hanya RM400 juta berbanding RM500 juta jika diadakan secara berasingan.

data
Fahmi Fadzil

Sebelum ini, Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, PRN di enam negeri perlu diadakan sebelum cuti sekolah bermula 25 Ogos ini jika mahu diadakan serentak.

Februari lalu, menteri besar dan ketua menteri enam negeri itu dilaporkan mencapai persetujuan membubarkan DUN masing-masing dalam tempoh dua minggu terakhir Jun ini bagi memberi laluan kepada PRN.

Penggal DUN Selangor akan tamat pada 26 Jun ini, Kelantan (28 Jun), Terengganu (1 Julai), Negeri Sembilan (2 Julai), Kedah (4 Julai) dan Pulau Pinang (2 Ogos). – SM

BACA Pembahagian kerusi DUN di enam negeri untuk PRN selesai – Muhammad Sanusi

BACA PRN: Kon Yeow dedahkan PH & UMNO Pulau Pinang bersatu, ‘tidak bercakaran’

(Visited 90 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button