Kemalangan

Dua penunggang motosikal maut dirempuh kereta dipandu laju

Dua penunggang motosikal maut di tempat kejadian selepas dirempuh sebuah kereta yang dipercayai dipandu laju di jalan Pulau Gadong, Melaka di sini hari ini.

Mangsa yang maut di tempat kejadian dikenali sebagai Nurul Rahimah Abdul Samad, 32, dari Taman Jati Indah dan Nur Azrin Noriman, 18, dari Taman Bertam Ria Pulau Gadong.

Bagaimanapun, pemandu kereta Hyundi Tucson, Yong Sang Kein, 36, dari Pekan Nyalas pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, dalam kejadian pukul 8.20 pagi itu, pemandu kereta yang datang dari arah Pulau Gadong ke Lebuh AMJ dipercayai telah hilang kawalan ketika sampai di tempat kejadian.

Menurutnya, kenderaan itu telah memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh kedua-dua mangsa yang menyebabkan mereka maut di tempat kejadian.

“Mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke bahagian Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Christopher, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Lebih menyedihkan akibat rempuhan kuat itu Nurul Rahimah tercampak sejauh 10 meter dari tempat kejadian dengan keadaan motosikal jenis Yamaha Y15 berada di tepi tebing sawah padi berhampiran.

Kemalangan itu juga menyebabkan kesesakan jalan raya di kedua-dua laluan sepanjang tiga kilometer ketika orang ramai dalam perjalanan ke tempat kerja. -SM

(Visited 113 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button