
KESUMA Perkukuh Perlindungan Sosial dan Perkhidmatan Pekerjaan Menerusi Kerjasama dengan Belgium
BRUSSELS, 12 Jun 2025 – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) terus melangkah ke hadapan dalam memperkukuh sistem perlindungan sosial dan perkhidmatan pekerjaan negara menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Pejabat Kebangsaan Pekerjaan Belgium (NEO).
Majlis pertukaran MoU yang berlangsung di Brussels semalam disaksikan oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, bersama Duta Malaysia ke Belgium, Luxembourg dan Kesatuan Eropah, Dato’ Mohd Khalid Abbasi Abdul Razak.
Menurut Steven Sim, kolaborasi strategik ini membuka ruang luas untuk perkongsian ilmu dan amalan terbaik antara kedua-dua negara, khususnya dalam aspek perkhidmatan pekerjaan dan keselamatan sosial.
“Kerjasama PERKESO dan NEO menandakan komitmen KESUMA untuk menerapkan amalan terbaik global yang dijangka mampu memacu inovasi serta memperkukuh keupayaan Malaysia dalam menghadapi cabaran pasaran kerja yang sentiasa berubah,” katanya.
Beliau turut mengakui bahawa sistem perlindungan sosial di Malaysia masih dalam proses pemerkasaan, khususnya dalam bidang seperti perlindungan insurans pekerjaan, liputan sektor pekerjaan tidak formal, serta aspek penguatkuasaan dan integrasi dasar.
Pertukaran MoU tersebut disempurnakan oleh Timbalan Ketua Eksekutif (Strategi dan Korporat) PERKESO, Edmund Cheong Peck Huang dan Ketua Pegawai Eksekutif NEO, Dr. Jean Marc Vandenbergh. Turut hadir, Ketua Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO, Gayathri Vadivel.
Melalui kerjasama ini, PERKESO berpeluang mempelajari strategi digitalisasi, pembangunan sistem pekerjaan serta pendekatan penguatkuasaan rentas sempadan yang digunakan oleh NEO di peringkat global.
Tambah Steven Sim, Belgium merupakan rujukan penting dalam bidang ini kerana memiliki sistem keselamatan sosial yang mantap, termasuk faedah pengangguran, program latihan vokasional berkualiti, serta kepakaran dalam teknologi tinggi dan inovasi.
“Kerjasama ini turut mencakupi sektor teknologi dan inovasi, yang dapat membantu memperkukuh dasar pekerjaan dan perlindungan sosial demi menjamin kesejahteraan rakyat secara menyeluruh,” ujar beliau.