Belang Bertempat

Laluan Gabungan Rakyat Sabah berliku, Warisan Plus `berpeluh’

PILIHAN Raya Negeri Sabah ke-16 yang masuk hari kedua kempen jika tidak digunakan secara maksimum oleh kesemua 16 parti bertanding, laluan menuju kemenangan pada 26 September ini pastinya cukup sukar buat setiap parti.

Setakat ini tiada mana-mana parti yang dominan boleh mendakwa dari peringkat awal mampu mencipta kemenangan dengan meraih sebahagian besar 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Laluan berliku pastinya dihadapi Gabungan Rakyat Sabah terdiri daripada Barisan Nasional (BN), komponen Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Dengan ketandusan isu `yang kuat’ untuk menggugat kekuatan Warisan Plus, gabungan dipimpin Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin itu tidak pasal-pasal dikejutkan pula dengan kemunculan sebuah lagi parti tempatan, Parti Cinta Sabah (PCS) diketuai bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.

PCS yang memfokuskan `pemilikan Sabah yang tuannya rakyat negeri itu sendiri’ dikatakan mampu meraih sekurang-kurangnya 10 daripada 73 kerusi yang ditandingi, dikatakan akan `mengacau’ kawasan tertentu yang dipercayai mampu memberi kemenangan kepada BN/PN.

Begitupun Warisan Plus yang terdiri daripada Warisan, DAP, UPKO, PKR dan Amanah dipercayai `berpeluh’ untuk mengekalkan mandat rakyat kali ini.

Setelah menang 21 kerusi DUN dalam PRU-14 yang dibantu tambahan kerusi UPKO sebelum membentuk kerajaan negeri yang terdahulu diraih oleh BN diketuai Tan Sri Musa Aman, bos Warisan Plus Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal terhimpit dengan gelombang ancaman ekonomi pandemik Covid-19 waktu ini.

Statistik pertumbuhan Keluaran dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah menunjukkan penyusutan teruk pada tahun 2018 dan 2019.

Sebelum Warisan mengambil alih kerajaan negeri, KDNK berada pada paras 8.2% tetapi setelah mereka memerintah, ia jatuh kepada 0.5%.

Ini bermakna tidak banyak aktiviti ekonomi yang dilakukan oleh kerajaan Warisan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat manakala peluang pekerjaan juga begitu sukar bagi rakyat dan mereka yang baru keluar dari institusi pengajian tinggi.

Sabah mempunyai potensi yang cukup besar dalam pelbagai bidang terutama dalam sektor pertanian, pelancongan dan sektor perikanan jika diurus tadbir dengan baik.

Bagaimanapun, kata pemerhati, kerajaan negeri gagal dalam usaha itu. Pimpinan Warisan asyik memberi keutamaan hanya kepada penyokong tegar mereka dan juga sibuk melantik pegawai-pegawai yang tidak mempunyai merit memegang jawatan-jawatan penting di agensi-agensi kerajaan dan jabatan kerajaan.

Belang difahamkan, pasti ada sebabnya mengapa ramai wakil rakyat yang sebelum ini menyokong Warisan telah keluar, meninggalkan Warisan. Ada antara mereka yang memegang jawatan sebagai pembantu menteri.

Berikutan kesanggupan keluar dari Warisan dan parti sekutunya, ini sekali gus menunjukkan bahawa ada sesuatu yang tidak kena dalam pentadbiran Kerajaan Warisan dan Mohd. Shafie.

Begitupun, mana-mana gabungan politik yang bersaing dalam PRN Sabah kali ini menghadapi cabarannya masing-masing.

Gabungan Rakyat Sabah masih mencari platform yang stabil dengan laluan cukup berliku. Warisan Plus pula Belang labelkan `berpeluh’.
-SM

(Visited 589 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button