fbpx
Politik

Kesetiaan, kegigihan Samsiah simbol kebangkitan UMNO, BN

KUALA LUMPUR – “Ketika partinya kalah dan hilang kuasa, dia tidak melupuskan kesetiaannya. Setia dan semangat juangnya sedikit pun tidak goyang atau rapuh. Dia tidak lari meninggalkan partinya ketika partinya dikenakan pelbagai tekanan termasuklah diancam untuk dilupuskan.”

Begitulah antara petikan kata-kata seorang warganet ketika berkongsi gambar seorang wanita memakai baju berwarna biru berlogo Barisan Nasional sambil memegang payung juga berlogo BN di bawah hujan lebat setia memegang sepanduk bertulis ‘Undi 2 Wee Jeck Seng’.

Video dan gambar wanita bernama Shamsiah Selamat yang merupakan ahli akar umbi Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Kota Tinggi itu diambil ketika hari mengundi Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai Sabtu lalu dan tular di media sosial.

“Hajah Shamsiah Selamat hanyalah sebahagian kecil daripada akar umbi yang jati diri mereka tidak boleh dijual beli atau goyang kerana hilang kuasa.

“Jauh bezanya daripada pemimpin-pemimpin yang dahulunya perkataan perjuangan Barisan Nasional tak lekang di mulut tetapi apabila kalahnya Barisan Nasional mereka melompat masuk ke dalam parti yang menjadi kerajaan bagi menyelamatkan punggung masing-masing.


“Harga diri, maruah dan martabatnya jauh lebih tinggi, antara ratusan jika bukan ribuan sukarelawan parti yang bertungkus lumus dan berusaha gigih bagi memastikan kemenangan BN di PRK Tanjung Piai,” tulis seorang warganet.

Video kecekalan Samsiah turut mendapat perhatian bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berasa sebak dengan keikhlasan perjuangan yang ditunjukkan wanita itu.

Najib berharap Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong dan calon BN Datuk Seri Wee Jeck Seng mencari Samsiah dan membuat sebuah majlis sederhana untuk wanita itu bersama semua petugas-petugas PRK sebagai tanda penghargaan.

“Kotak nombor dua, adalah kotak yang benar benar membawa suara rakyat dan wanita ini gigih, tanpa hirau hujan dan lelah. Sebak hati saya bila terima video ini dari rakan rakan.

“Saya tak ketahui nama wanita ini, tetapi apa yang pasti, keikhlasan mereka mahu rakyat terbela dan tak mahu lagi kita semua terus ditipu PH. Terima kasih pada semua sukarelawan. Terima kasih banyak-banyak,” kata Najib dalam satu hantaran di Facebook beliau.

Sementara itu Ka Siang memberitahu dia berasa terharu dengan kecekalan Samsiah dalam memastikan kemenangan BN di Tanjung Piai.

Ka Siong berkata, apa yang dilakukan Samsiah merupakan semangat setiakawan yang sedia terjalin di dalam Barisan Nasional tanpa mengambil kira siapa calonnya, asalkan dari BN, perayu-perayu undi pasti bertungkus-lumus memenangkan calon BN.

“Saya sungguh terharu menonton klip video ini. Saya cuba menelefon Kak Sham untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada beliau sejak tengahari tadi, tetapi masih gagal dihubungi. Saya akan mencuba lagi sampai dapat!

“Terima kasih Hajah Shamsiah binti Selamat. Tidak kenal erti penat lelah, malah waktu hujan pun Kak Sham merayu undi di barong untuk memastikan calon BN, Wee Jeck Seng menang dalam PRK,” tulis Ka Siong.

Menurut Ka Siong, beliau yakin ramai lagi petugas BN yang komited seperti Samsiah.

Jelas beliau, BN akan meneruskan semangat setiakawan, solidariti pembangkang dan Muafakat Nasional. Hubungan akrab sesama parti pembangkang akan dipertingkatkan demi memperjuangkan nasib rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

“Pulau Pisang jauh ke tengah,

Gunung Pulai bercabang tiga,

Hancur badan dikandung tanah,

Budi baik dikenang juga,” tulis Ka Siong.-SM

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button