Politik

Keselamatan Politik Peribumi

Oleh Ruhanie Ahmad

Politik membawa pelbagai maksud dan tafsiran kepada kelompok yang berbeza.

Kesemuanya berkait rapat dengan soal kuasa, kehidupan dan keselamatan umat manusia di sesebuah negara.

Segolongan pakar keselamatan mendefinisikan politik sebagai usaha menguruskan kelompok besar manusia di sesebuah negara, kehidupannya dan kesejahteraannya.

Ini seiring dengan maksud serta matlamat perjuangan politik oleh majoriti Peribumi Malaysia di ambang merdeka dan di zaman awal kemerdekaan negara.


Mereka mentakrifkan politik sebagai perjuangan mendapatkan kuasa untuk kepentingan agama, bangsa dan tanah air.

Namun Malaysia ketika ini sedang menyaksikan pelbagai babak dan karenah perjuangan politik Peribumi.

Dr Ruhanie Ahmad

Golongan peribumi arus perdana menumpu kepada perjuangan politik untuk memperkasakan agama, bangsa dan tanah air, di Malaysia yang majmuk.

Satu lagi kelompok Peribumi terlalu ghairah menggerakkan kuasa politik mereka untuk meruntuhkan perjuangan Peribumi arus perdana atas dorongan nawaitu peribadi.

Kuasa politik akar-umbinya diibaratkan daun keladi untuk menudung bangkai gajah yang bergelimpangan mencemari alam.

Akibatnya, perjuangan mereka untuk Peribumi selaku 69.9 peratus warganegara Malaysia luntur dan layu.

Ia jadi kelam, kusam dan berbalam, digerhanai kelompok 22.6 peratus, dan jadi longlai digegarkan suara golongan 6.9 peratus.

Kuasa politik Peribumi yang unggul dan gagah sejak merdeka runtuh akibat rasuah dan salahguna kuasa yang dikatakan membarah di jiwa segelintir pemimpin tertingginya.

Mereka gagal mengambil iktibar daripada kemelot politik negara yang membuktikan kuasa politik Peribumi sudah punah kerana rasuah.

Mereka kurang bijak untuk menginsafi bahawa kuasa politik nasional yang meminggirkan kepentingan Peribumi selaku kumpulan 69.9 peratus di Malaysia juga sudah tumbang menyembah tanah.

Hakikatnya sekarang, kuasa politik Peribumi yang sudah ranap dalam PRU14 sukar untuk dibaiki dan susah untuk dipulihkan jika Peribumi terus berbalah, berpecah dan memuja perasuah.

Namun perjuangan Peribumi boleh diperkasakan semula jika kita bersatu dan berganding bahu secara ikhlas dan jujur untuk membina satu kekuatan baru.

Syaratnya, jangan melatah, jangan gelabah dan jangan jadi seolah-olah lembu cucuk hidung yang akur untuk diheret oleh para penggembala yang sudah tewas dan berlumuran lumpur di sekujur jasadnya.

Menjelang PRU15 ini, ayuh kita bangkit dengan semangat, roh dan jiwa Peribumi untuk menebus maruah kita yang sudah diinjak-injak pelbagai pihak, termasuk mereka yang didalangi dan dikuasai makhluk ghaib dari pelusuk jagat.

Kita humbankan segala sengketa. Kita musnahkan seluruh hasad dengki yang bertakhta di sanubari.

Kita laungkan ikrar perjuangan Peribumi yang baru, senada dan seirama, untuk membela diri kita sendiri, selaku wargenegara yang 69.9 peratus jumlahnya, di bumi Malaysia tercinta ini.

Kita mesti insaf, keselamatan politik Peribumi adalah mengenai kestabilan organisasi negara kita, sistem pemerintahan kita, dan ideologi yang mengabsahkan wujudnya tanah air kita.

Lantas, Peribumi ketika ini, mesti berjuang untuk Peribumi. Kita mesti jaga kita, mesti pertahankan keselamatan politik kita, dan mesti bela masa depan kita bersama.

[Datuk Dr Ruhanie Ahmad, selaku penganalisis keselamatan dan pertahanan nasional, adalah mantan Ahli Parlimen Parit Sulong, Johor, 1990-2004]
(Visited 95 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button