Rencana

Keselamatan makanan parah akibat Covid-19

PANDEMIK Covid-19 telah memberi kesan mendalam ke atas keselamatan makanan bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia.

Dengan rantaian makanan terputus, kekurangan tenaga buruh, restoran ditutup dan negara menghentikan pengeksportan dan banyak lagi isu membelenggu sistem makanan, mendesak keperluan untuk kita menilai semula ekosistem pertanian yang kian parah.

Isu-isu sebelum pandemik yang belum selesai termasuk golongan petani yang makin menua, perubahan iklim, hasil tanaman rosak dan kemiskinan dalam kalangan petani selain akses kepada teknologi masih wujud, memerlukan negara dan masyarakan berubah kepada norma baharu.

Di Asia terdapat kira-kira 80 peratus populasi petani kecil-kecilan dengan jumlah mencecah 100 juta di rantau ASEAN.

Melibatkan jumlah yang begitu tinggi, situasi ini memerlukan perhatian serius daripada golongan pembuat dasar, kerajaan dan juga saintis, termasuk orang awam yang juga perlu sedar tentang proses penghasilan makanan.

Bagi menangani isu ini, Science Media Centre (SMC) Malaysia dengan kolaborasi Perkhidmatan Antarabangsa Perolehan Aplikasi Agri-bioteknologi (ISAAA) and Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan satu sesi webinar pada Sabtu lalu.

Sesi atas talian tersebut berbincang tentang impak Covid-19 terhadap sistem makanan dan dikendalikan Penyelaras  Global ISAAA dan juga pengasas bersama SMC Malaysia.

Barisan panelis terdiri daripada pakar dalam bidang sekuriti makanan dan pertanian bandar telah menganalisa isu-isu penting berhubung kesan Covid-19 dan aspek keselamatan makanan serantau.

Mereka termasuk Adjunct Senior Fellow (Food Security), S. Rajaratnam School of International Studies, Nanyang Technological University (NTU) Singapore, Prof Dr Paul Teng; Pengarah, Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan (IKDPM),  Prof Madya Dr Shaufique Fahmi Ahmad Sidique; dan Pengasas bersama Eats, Shoots & Roots, Shao-Lyn Low.

Isu-isu yang dibincangkan meliputi pelbagai aspek termasuk impak pandemik kepada bekalan rantaian makanan, keselamatan makanan dan kelangsungan hidup petani; kesan keselamatan makanan kepada ekonomi dan juga norma baharu ketika pandemik dan selepas pandemik seperti penggunaan teknologi dan inovasi.

Prof Madya Dr Shaufique Fahmi Ahmad Sidique berpandangan definisi keselamatan makanan perlu ditafsir daripada pelbagai aspek.

“Ia bukan sahaja mengenai keupayaan untuk menghasilkan makanan tetapi juga mencukupi untuk semua orang. Selain mudah akses, ia juga perlu berkhasiat.

“Ini yang dimaksudkan dengan ‘keselamatan makanan’. Selain itu, ia juga termasuk harganya yang mampu dibeli oleh orang ramai dan pilihan makanan yang pelbagai dan bernutrisi,” katanya pada sesi webinar itu.

Sementara itu, Prof Dr. Teng menekankan bahawa Covid-19 mendesak masyarakat mengubah cara pemikiran mengenai keselamatan makanan.

“Sektor pertanian perlu diberi keutamaan. Kita lihat pada awal pandemik Covid-19, pertanian tidak dibenar beroperasi semasa krisis.

“Tetapi, apabila ia menjadi parah, kita mula sedar bahawa sebarang tindakan menghentikan penglibatan sektor pertanian akan mengganggu rantaian makanan. Kita juga melihat negara seperti India dan China mula berubah memberi keutamaan kepada pertanian,” katanya.

Tambahnya lagi, sistem makanan tidak tertumpu kepada petani sahaja tetapi merangkumi keseluruhan rantaian makanan.

“Ini masanya untuk melabur lebih banyak dalam sektor pertanian yang akan memperkasakan petani dan ia secara langsung juga memperkasakan pengguna.”

“Malangnya, dalam semua kajian yang telah kami lakukan, bidang penyelidikan dan pembangunan pertanian antara yang menerima peruntukan paling rendah daripada sektor awam. Ini perlu ditukar (pasca Covid-19). Kalau kita tidak tukar, kemudian sektor swasta akan mengambil alih dan apabila sektor swasta ambil alih, kita semua merungut,” kata Dr. Teng.

Jelas beliau, pandemik Covid-19 telah membuka mata orang ramai tentang keperluan negara bersiap sedia dalam menghadapi krisis makanan.

“Inilah masanya untuk menukar cara fikiran kita dalam sistem pemerintahan sebuah negara. Walaupun, kita percaya makanan adalah penting, tetapi dalam aktiviti ekonomi, pertanian tidak dapat menandingi sektor seperti pembekalan komponen elektrik. Kebanyakan masa, kerajaan hanya memberi perhatian kepada sektor yang memberi keuntungan lebih tinggi.”

“Yang pasti, Covid-19 tidak akan menjadi satu-satunya gangguan sistem makanan yang akan kita lalui dalam tempoh hayat ini. Akan ada banyak lagi krisis dan negara perlu bersedia memastikan bekalan makanan mencukupi dan kelangsungan rantaian makanan terjamin,” kata Dr. Teng.

Sementara itu, di peringkat komuniti pula, Shao-Lyn berkata, terdapat peningkatan minat dalam aktiviti pertanian bandar ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa.

“Orang ramai mula melihat kepada penanaman sayuran sendiri sebagai satu alternatif, khususnya ketika PKP, kami banyak mendapat pertanyaan dan orang yang mengunjungi kedai online kami.”

“Ini satu perkembangan yang positif di mana ramai yang mula melihat kepentingan menanam sayur sendiri. Sebelum ini, ramai yang hanya melihat ia sebagai aktiviti untuk warga emas atau pesara tetapi kini kita mula melihat lebih ramai golongan muda sudah berkecimpung,” katanya.

Sambil menyifatkan ia sebagai kemahiran asasi hidup, kata Shao-Lyn lagi, aktviti tanam sayur sewajarnya diperkenalkan di peringkat sekolah lagi.

“Ia seharusnya dijadikan salah satu mata pelajaran penting supaya anak-anak mempunyai pengetahuan asas tentang bagaimana makanan terhasil dan ini juga kemahiran penting untuk kelangsungan hidup,” tambahnya lagi.

Eats, Shoots & Roots adalah perusahaan sosial yang bertujuan menghubungkan warga kota dengan kemahiran untuk terlibat dalam aktiviti penanaman.

Tonton webinar penuh di sini: https://youtu.be/bqzqmV9bsPk

Artikel ini dari Science Media Centre  https://sciencemediacentremalaysia.com/ 

(Visited 884 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button