Ekonomi

Bank Rakyat komited perkasa usahawan asnaf menerusi Program RAKYATpreneur dan UNIpreneur 2023

BANK RAKYAT terus komited memperkasa usahawan asnaf menerusi program RAKYATpreneur dan UNIpreneur 2023 dengan peruntukan dana keseluruhan berjumlah RM3.5 juta untuk dimanfaatkan oleh 800 usahawan asnaf berpotensi.

Kedua-dua program yang bermula pada Jun lalu itu merupakan kesinambungan daripada kejayaan program rintisnya dan tiga siri RAKYATpreneur dan Bank Rakyat UNIpreneur yang dilancarkan sebelum ini yang mana bertujuan membangunkan kapasiti dan daya saing usahawan dan siswa asnaf menerusi latihan dan bimbingan keusahawanan serta pemantauan secara inklusif dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan sosial bagi mencapai hasrat kerajaan dalam menoktahkan kemiskinan tegar.

“Program RAKYATpreneur dan Bank Rakyat UNIpreneur ini yang merupakan inisiatif kewangan sosial di bawah rangkuman program iTEKAD yang diwujudkan oleh Bank Negara Malaysia mampu memberi impak yang lebih meluas khususnya kepada golongan usahawan asnaf dan mikro yang menghadapi kekangan dalam mendapatkan bantuan dan sumber kewangan bagi memastikan kelestarian perniagaan mereka,” ujar Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick semasa menghadiri Majlis Perasmian RAKYATpreneur dan Bank Rakyat UNIpreneur 2023 di Menara Kembar Bank Rakyat.

“Dengan berpandukan aspirasi iTEKAD dalam membantu menjana pendapatan mampan dan daya tahan usahawan mikro, inisiatif kewangan sosial ini juga dilihat memainkan peranan penting dalam mengukuhkan kedudukan ekonomi masyarakat serta menjamin kestabilan sosial menerusi pengurangan jurang pendapatan.

“Saya percaya bahawa menerusi intervensi daripada institusi kewangan seperti Bank Rakyat dapat membantu meningkatkan keupayaan usahawan asnaf dan B40 dalam membentuk kedudukan kewangan yang lebih kukuh bagi menghadapi cabaran atau rintangan kewangan di luar jangkaan pada masa hadapan,” tambah beliau.

Ewon turut berkongsi dalam ucapan perasmiannya, kesinambungan kedua- dua program pembangunan usahawan oleh Bank Rakyat ini menunjukkan komitmen dan kesungguhan Bank Rakyat sebagai institusi perbankan yang prihatin terhadap kesejahteraan dan kemampanan usahawan daripada golongan yang memerlukan sejajar dengan nilai Malaysia Madani.

“Sesungguhnya, majlis ini amat bermakna kerana ia menyaksikan kesinambungan program RAKYATpreneur dan Bank Rakyat UNIpreneur yang telah berjaya membantu ramai usahawan asnaf sejak diperkenalkan pada tahun 2020 dan 2021 lagi. Lebih membanggakan, sehingga kini, seramai 1,833 orang usahawan dan siswa asnaf telah berjaya dibantu agar mereka dapat keluar daripada golongan asnaf menerusi kedua- dua inisiatif ini.

Dalam pada itu, Pemangku Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata, program inisiatif kewangan sosial ini juga diadakan sebagai sokongan bagi program iTEKAD yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia dengan tujuan membantu usahawan mikro berpendapatan rendah bagi memperkukuh pengurusan kewangan dan kepintaran dalam perniagaan ke arah menjana pendapatan yang berterusan.

“Seperti yang kita sedia maklum, program ITEKAD ini menggalakkan aktiviti keusahawanan mikro menerusi bidang tumpuan terhadap instrument kewangan sosial termasuk zakat, sedekah dan wakaf bagi penyediaan pembiayaan mikro sebagai suntikan- dana serta latihan dan bimbingan berstruktur.

Beliau berkata, berlandaskan elemen dalam program iTEKAD, Bank Rakyat percaya program ini mampu membantu mengurangkan kadar kemiskinan, meningkatkan taraf dan kualiti kehidupan, sekali gus menyediakan kehidupan yang selasa dan sejahtera, sekali gus menyediakan kehidupan yang selesa dan sejahtera, seterusnya membawa kepada pembentukan negara yang berprestij pada masa akan datang.

“Alhamdulillah, peserta program RAKYATpreneur bagi tahun 2022 telah berjaya merekodkan hampir 60% peningkatan kadar jualan, manakala 66% usahawan siswa asnaf Bank Rakyat UNIpreneur mencatatkan peningkatan kadar jualan sepanjang program tersebut berlangsung,” tambah beliau.

Program RAKYATpreneur dan Bank Rakyat UNIpreneur sebelum ini berjaya membantu ramai usahawan antaranya Zainab Saidin dari Kuala Lipis, Pahang yang merupakan pengusaha perniagaan bakeri ZaiQ telah memanfaatkan dana RAKYATpreneur untuk menaik taraf dapur bakeri di rumahnya bagi mendapatkan sijil pengesahan HALAL daripada JAKIM dan sijil MESTI daripada Kementerian Kesihatan Malaysia. Kini, makanan pastri yang dihasilkannya berjaya dipasarkan di beberapa buah kafe dan koperasi sekolah di negeri Pahang.

Di samping itu, salah seorang peserta Bank Rakyat UNIpreneur Rafhanah Manja@Ridzuan, mahasiswa dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), pengusaha perniagaan aksesori yang berasaskan mutiara seperti gelang dan rantai kini berjaya mengembangkan perniagaannya sehingga berjaya meraih Anugerah Perniagaan Terbaik Malaysia (MBBA 2022).

Program ini turut menganjurkan jualan lestari dengan menghimpunkan 50 usahawan RAKYATpreneur dan Bank Rakyat UNIpreneur yang menawarkan pelbagai jenis barangan seperti makanan dan minuman, pakaian dan aksesori, kraftangan, kecantikan dan kesihatan serta digital dan komunikasi. – SM

 

Artikel berkaitan > Bank Rakyat dekati masyarakat menerusi ‘Perfect BRew Coffee Roadshow’, tingkat kesedaran kewangan

 

(Visited 193 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button