Nasional

KESEDAR sumbang lebih RM360 ribu sepanjang bulan Ramadan

LEMBAGA Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) memperuntukkan lebih RM360,000 menerusi program sumbangan sepanjang Ramadan pada tahun ini.

Sumbangan ini disalurkan menerusi tiga program iaitu Program Sumbangan Majlis Berbuka Puasa Kepada Masjid dan Madrasah, Program Jalinan Kasih dan Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak-Anak Yatim.

Timbalan Menteri 1 Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad berkata menerusi Program Sumbangan Majlis Berbuka Puasa Kepada Masjid dan Madrasah, KESEDAR telah menyalurkan RM319,500 kepada 498 masjid dan madrasah merangkumi 152 masjid dan 346 madrasah.

“Setiap masjid menerima sumbangan berjumlah RM850 dan madrasah pula menerima RM550. KESEDAR turut menyalurkan sumbangan menerusi Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak-Anak Yatim Dengan peruntukan sebanyak RM 22,000.

Menerusi Program Jalinan Kasih pula, sebanyak RM20,000 turut disumbangkan kepada guru-guru al-Quran sebagai penghargaan kepada mereka yang berkhidmat kepada masyarakat secara sukarela”, ujar beliau.


Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Majlis Berbuka Puasa Bersama Media – KESEDAR di Hotel Grand Renai, Kota Bharu hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah KESEDAR, YB Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan Pengurus Besar KESEDAR, Dr. Shahrir Mohammad Zakey.

Pada majlis tersebut, Abdul Rahman turut menyampaikan hadiah berupa Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) bernilai RM1,000 dan sijil penghargaan kepada 41 orang pegawai dan kakitangan KESEDAR.

Timbalan Menteri 1 Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad

Penganugerahan APC ini diperkenalkan kerajaan untuk memberi penghargaan kepada pegawai perkhidmatan awam yang telah memberikan perkhidmatan cemerlang selain merupakan pengiktirafan terhadap perkhidmatan yang bermutu tinggi berdasarkan prestasi tahunan pegawai.

Dalam pada itu, KESEDAR juga turut meraikan pengamal media negeri Kelantan yang banyak memberi sokongan kepada agensi ini dengan menyediakan laporan berita yang memberi manfaat kepada masyarakat dan golongan sasar.

“Media merupakan rakan strategik dan penghubung antara agensi kerajaan dan masyarakat terutama dalam menyampaikan inisiatif di bawah KESEDAR kepada penduduk di luar bandar.

Justeru itu, KESEDAR amat menghargai peranan media dalam menyampaikan berita yang sahih dan benar sepanjang 44 tahun penubuhan KESEDAR”, tambah beliau lagi. – SM

(Visited 32 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button