
Kesan Asap Rokok, Wanita Ini Kena Tebuk Paru-Paru 4 Kali Walau Tak Merokok
SEORANG wanita tular di media sosial selepas mendedahkan pengalaman ngeri menjadi mangsa asap rokok persekitaran sehingga menyebabkan paru-parunya perlu ditebuk sebanyak empat kali meskipun dia tidak pernah merokok.
Wanita tersebut, yang menggunakan nama pengguna TikTok @Sistihah00, berkongsi kisahnya sebagai perokok pasif sejak bertahun-tahun lalu yang akhirnya membawa kepada komplikasi kesihatan serius.
“Saya bukan perokok, tetapi dikelilingi ramai perokok menyebabkan saya yang tanggung derita,” katanya dalam video yang dimuat naik di TikTok baru-baru ini.
Menurutnya, paru-paru kirinya terpaksa ditebuk dua kali pada tahun 2017, dan dua tahun kemudian, paru-paru kanannya turut menerima nasib sama.
Katanya, kesan jangka panjang daripada prosedur tebuk paru-paru tersebut amat menyakitkan, apatah lagi apabila beliau terpaksa berbaring lama di hospital, sehingga mengganggu saraf dan menyebabkan kesakitan berpanjangan.
Kisah yang dikongsikan wanita ini menerima pelbagai reaksi netizen, rata-rata meluahkan rasa simpati dan menzahirkan sokongan moral kepadanya. Ramai juga menuntut agar masyarakat lebih peka terhadap bahaya asap rokok kepada orang sekeliling.
“Saya harap semua orang sedar, asap rokok bukan saja bahayakan diri sendiri, tapi juga orang lain. Jangan pentingkan diri,” tambahnya.
Dalam masa sama, kisah ini turut mengundang semula perbincangan mengenai penguatkuasaan larangan merokok di kawasan awam serta kepentingan mendidik masyarakat tentang risiko perokok pasif.
Statistik daripada Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum ini turut menunjukkan perokok pasif berisiko tinggi mengalami penyakit kronik seperti kanser paru-paru, serangan jantung, dan masalah pernafasan.
Suara Merdeka menyeru agar masyarakat menghormati ruang awam yang bebas asap rokok serta terus menyokong kempen gaya hidup sihat demi kesejahteraan semua pihak.