Nasional

Kes Zahid: Pendakwaan mohon mulakan prosiding hina mahkamah

PIHAK pendakwaan dalam perbicaraan kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi memohon untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap bekas timbalan perdana menteri itu.

Ini susulan penangguhan perbicaraan hari ini selepas peguam yang mewakili  Ahmad Zahid dilapor memaklumkan bahawa anak guamnya perlu menghadiri satu mesyuarat berkaitan pembentukan Kabinet bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, mahkamah telah memanggil kedua-dua pihak petang ini selepas Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan bahawa tiada mesyuarat atau sebarang perjumpaan dengan pemimpin politik dijadualkan hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran memberitahu Hakim Collin Lawrence  Sequerah bahawa pihaknya membuat permohonan itu susulan perkembangan tersebut.

“Saya ingin membuat permohonan (untuk memulakan prosiding) menghina mahkamah,” katanya.

Hakim Sequerah berkata beliau akan membuat keputusan mengenai perkara itu esok.

BERITA BERKAITAN: Kes tangguh, Zahid perlu hadir mesyuarat bentuk kabinet

BERITA BERKAITAN: Selepas PMO keluar kenyataan, mahkamah panggil semula Zahid

Sebelum ini dilaporkan perbicaraan mahkamah membabitkan Dr. Ahmad Zahid ditangguhkan bagi memberi ruang kepadanya berbincang dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk urusan pembentukan kabinet baru.

Permohonan itu dibuat oleh pasukan pembelaan dalam perbicaraan kes rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah dana Yayasan Akalbudi membabitkan Ahmad Zahid di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Menurut peguam bela, Hisyam Teh Poh Teik, anak guamnya itu “diperlukan” untuk perbincangan bersama perdana menteri.

Ahmad Zahid berdepan 47 tuduhan, membabitkan 12 kes pecah amanah, 27 kes pengubahan wang haram dan lapan kes rasuah.

Ahmad Zahid didakwa pecah amanah terhadap RM31 juta dana Yayasan Akalbudi, menerima rasuah sejumlah RM21.25 juta, dan melakukan pengubahan wang haram membabitkan RM65 juta, dan dengan wang itu turut membeli dua unit banglo bernilai RM5.9 juta.

Setakat ini, pihak pendakwaan telah memanggil 38 saksi untuk memberi keterangan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah, dalam perbicaraan yang masuk hari ke-18.

Pasukan pendakwaan diketuai Raja Rozela Raja Toran, bersama Ahmad Sazilee Abdul Khairi, Lee Keng Fatt, Gan Peng Kun, Harris Ong Mohd Jeffrey Ong, Nur Aishah Maulat Ahmad Zakiuddin dan Mohd Afif Ali.

Pasukan pembelaan pula diketuai Hisyam Teh Poh Teik bersama Ahmad Zaidi Zainal, Hamidi Mohd Noh, Rosal Azimin Ahmad, Haziq Dhiyauddin Razali dan Aiman Abdul Rahman. – BERNAMA

(Visited 183 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button