Belang Bertempat

PRN Johor: Undi Cina kalau bukan untuk MCA, untuk siapa?

PARTI komponen Barisan Nasional (BN), MCA tidak boleh mengharapkan undi Cina pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac nanti akan diberikan kepada mereka.

Sebaliknya ada yang memberi gambaran pengundi-pengundi Cina akan memberi undi mereka kepada DAP.

Kalau benarlah bagai dikata maka MCA terpaksa bergelut untuk memenangi hati pengundi-pengundi Cina pada PRN Johor nanti selain parti ini juga terpaksa terus bergantung kepada UMNO untuk memastikan kehadiran mereka (MCA) bukan sahaja relevan tetapi juga sebagai kelangsungan parti yang bernyawa.

Pada PRN lepas (terkini) iaitu PRN Melaka, MCA menang dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi itu bukanlah tiket untuk menjamin keselesaan di PRN Johor.

MCA perlu menonjol dan memainkan lebih peranan dalam memastikan kemenangan BN. Jika tidak, MCA kurang penting dan kehadiran parti komponen itu memang tak boleh harap untuk menarik undi Cina!

Walaupun ada yang berpendapat, sokongan masyarakat Cina terhadap DAP berkurangan sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada Mei 2018 namun ia tidak bermakna undi Cina beralih beramai-ramai kepada MCA.

Itu bukanlah senarionya dan MCA pula mungkin dilihat pada mata kasar berjaya meraih sokongan di kawasan-kawasan campuran terutama jika terdapat pertembungan pelbagai penjuru dalam kalangan parti-parti politik Melayu.

Dengan MCA terpaksa bergantung kepada dahan-dahan dan ranting-ranting UMNO untuk mendapatkan undi, BN mungkin mengambil semula beberapa kerusi yang majoritinya orang Melayu dan pernah diberikan kepada MCA untuk ditandingi sebelum ini.

Persoalannya apakah mungkin UMNO berdepan dengan tekanan daripada penyokong-penyokong tegarnya untuk menunjukkan kepada MCA, siapakah sebenarnya abang besar atau bos mereka.

Kebergantungan MCA pada UMNO juga membawa kepada hakikat bahawa UMNO berkuasa dalam menentukan pengagihan kerusi.

Daripada 56 kerusi DUN, 42 dirampas UMNO dalam peratusan pengundi Cina yang tinggi di Johor dan itu jelas petanda, MCA di mana?

Kalau BN berasakan sudah putus asa dalam usaha untuk memenangi kerusi majoriti Cina di PRN Johor, adakah BN akan menyerahkan kerusi itu kepada MCA?

UMNO mengintai kerusi campuran dengan populasi Melayu yang ketara manakala MCA pula lebih kepada komponen hiasan dalaman BN.

Walaupun Pakatan Harapan (PH) pula mungkin melihat penurunan sokongan berdasarkan peratusan keluar mengundi yang lebih rendah dan kekecewaan sesetengah pihak yang mengundi mereka sebelum ini, ia tidak semestinya memberi manfaan atau kelebihan kepada MCA.

Kalau pengundi Cina tidak mahu mengundi PH, tidak pula menyokong MCA walaupun keluar mengundi, mereka mungkin memilih MUDA atau Warisan. – SM

(Visited 810 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button