MahkamahNasionalNegeri

Kes tuntutan palsu Azlan Man dipindah ke Kuala Lumpur

KES bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man menghadapi tuduhan membuat tuntutan paslu “Cuti Seberang Laut” bernilai RM1.185 juta akan dipindahkan ke Kuala Lumpur.

Hakim Nor Salha Datuk Hamzah memutuskan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk perbicaraan pada 9 Jun depan.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rehab Abdul Shukur memohon agar kes membabitkan lima pertuduhan tuntutan palsu dihadapi tertuduh dapat dibicarakan secara bersama dengan kes di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang dihadapinya di Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur.

Beliau memberi alasan penggabungan pendakwaan itu adalah berikutan kes berkenaan adalah membabitkan saksi dan siasatan yang sama.

Peguam tertuduh, Burhanudeen Abdul Wahid menyatakan bahawa anak guamnya tiada sebarang bantahan terhadap permohonan dikemukakan oleh pihak pendakwaan itu.

Mahkamah bersetuju dengan permohonan tersebut.

Pada 10 April lalu, Azlan, 65 meminta dibicarakan di Mahkamah Sesyen Kangar setelah mengaku faham apabila dibacakan kesemua lima-lima pertuduhan tuntutan palsu “Cuti Seberang Laut” bernilai RM1.185 juta ke atasnya.

Nor Salha juga membenarkan tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin dan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Pada 12 April lalu, Azlan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas lima pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM1.06 juta.

Hakim Azura Alwi membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 9 Jun ini untuk sebutan semula kes. – SM

BACA Azlan Man tenang dan berserah kepada Allah

BACA Azlan Man didakwa palsukan dokumen bernilai RM1.185 juta

(Visited 195 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button