Politik

Kes SRC, Penantian Najib Berlanjutan, AGC Mohon Masa Tambahan

JABATAN Peguam Negara (AGC) hari ini memohon lanjutan masa selama sebulan bagi membuat keputusan terhadap representasi difailkan Datuk Seri Najib Razak berhubung sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dikenakan terhadapnya dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Permohonan itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul di hadapan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

“Representasi tersebut telah diterima dan masih dipertimbangkan. Kami memohon lanjutan sebulan,” katanya ringkas.

Susulan itu, mahkamah menetapkan 5 Jun 2025 untuk pengurusan kes selanjutnya.

Najib, 70, difailkan permohonan untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya pada Ogos 2022, serta keputusan menolak permohonan semakan pada Mac 2023.

Peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, tidak membantah permohonan lanjutan tersebut namun menegaskan bahawa anak guamnya telah lama menunggu keputusan, dan berharap perkara ini diselesaikan segera demi keadilan.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang, namun pada Februari lalu, Lembaga Pengampunan mengurangkan tempoh penjara beliau kepada enam tahun dan jumlah denda kepada RM50 juta.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button