MahkamahNasional

Kes saman fitnah Mujahid berkaitan Sajat pakai telekung

Mahkamah tetapkan Julai depan tarikh perbicaraan

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur memutuskan mulai Julai depan, perbicaraan kes saman fitnah Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof terhadap Harakah membabitkan isu usahawan kosmetik Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau lebih dikenali sebagai Sajat yang didakwa memakai telekung dan berpakaian seperti wanita sewaktu menunaikan umrah, akan bermula.

Peguam Noorazmir Zakaria yang mewakili Mujahid berkata, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Quay Chew Soon menetapkan tarikh 12 dan 13 Julai untuk perbicaraan kes tersebut ketika prosiding berlangsung menerusi sistem dalam talian e-Review, hari ini.

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu yang memfailkan saman pada 12 Ogos tahun lepas menamakan wartawan Harakah, Aziz Muda, Ketua Pengarang Harakah, Wan Nordin Wan Yaacob, penerbit laman sesawang harakahdaily serta akhbar Harakah iaitu Galeri Media Serbanika Sdn. Bhd., dan pencetak akhbar itu, Percetakan Turbo (M) Sdn. Bhd., sebagai defendan.

Penyataan tuntutan Mujahid mendakwa pada 7 Februari tahun lepas, Aziz, Wan Nordin dan Galeri Media telah menulis dan menerbitkan kenyataan memfitnah terhadapnya di laman sesawang harakahdaily menerusi artikel bertajuk ‘Sajat: Mujahid dan K’jaan PH patut dipersalahkan’ serta menerbitkan satu lagi kenyataan yang memfitnah beliau dalam akhbar Harakah bertarikh 10 hingga 13 Februari menerusi artikel ‘Keterlanjuran Sajat kesilapan Mujahid dan kerajaan PH’.

Mujahid selaku plaintif mendakwa kata-kata fitnah itu antara lain, membawa maksud bahawa beliau seorang yang tidak bertanggungjawab apabila membenarkan masyarakat, khususnya yang beragama Islam terlibat dalam aktiviti ‘Lesbian Gay Bisexual Transexual (LGBT)’ selain didakwa menjadi punca kepada tindakan Sajat memakai telekung serta berpakaian seperti wanita sewaktu menunaikan umrah.

Mujahid juga mendakwa, kenyataan fitnah itu telah menjatuhkan maruah, kredibiliti serta reputasinya selaku menteri yang menjaga hal ehwal agama di Jabatan Perdana Menteri.

Dan akibat daripada penyebaran kata-kata fitnah tersebut, beliau mengalami tekanan serta berasa malu untuk berhadapan dengan masyarakat.

Sementara itu, kesemua defendan menerusi penyataan pembelaan difailkan pada 28 September tahun lepas berkata, Mujahid seharusnya berani bertanggungjawab berhubung kenyataan yang dikeluarkan beliau dan sepatutnya tidak tersinggung dengan kritikan yang dilontarkan masyarakat terutama pengamal media berhubung isu tersebut. –  SUMBER BERNAMA – SM

(Visited 292 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button