NasionalNegeri

Raja Muda, Raja Puan Muda berkenan bertemu Ketua Perwakilan Qatar ke Malaysia yang baharu

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan mengadakan pertemuan dengan Ketua Perwakilan Qatar ke Malaysia yang baharu, Salah Mohamed Al-Sorour di ibu negara, semalam.

Hadir sama ialah isteri beliau, Asmaa Abdul Rahmab Al-Hail.

Salah telah menerima watikah pelantikan dan Majlis Menghadap daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada 21 Februari lalu.

Raja Muda menzahirkan ucapan Selamat Datang serta Selamat Bertugas di Malaysia kepada Salah dan amat berharap kerjasama Perlis dan Qatar akan bertambah erat di masa hadapan khususnya jika hasrat Baladna Food Industries dari negara tersebut untuk melabur dalam industri tenusu di negeri Perlis menjadi realiti suatu hari nanti.

Pada Disember lalu, Raja Muda berada di Doha, Qatar bagi menyaksikan pertandingan bola sepak Piala Dunia FIFA turut meluangkan masa berangkat melawat fasiliti ladang Baladna yang merupakan salah sebuah syarikat pengeluar produk tenusu terbesar di rantau Asia Barat berkeluasan 2.6 juta meter persegi dan mempunyai 24,000 ekor lembu tenusu.

Ketika di Doha tempohari juga, Tuanku Syed Faizuddin Putra dipersembahmaklumkan oleh Duta Besar Malaysia ke Qatar, Zamshari Shaharan bahawa negara tersebut merupakan salah sebuah negara yang terkaya di dunia kerana mempunyai hasil minyak dan gas yang banyak dan populasi penduduknya yang kecil.

Berpandukan pelan pembangunan mampan ‘Qatar National Vision 2030’, Qatar aktif dalam meneroka peluang kerjasama dengan Malaysia terutamanya dalam bidang pendidikan tinggi, modal insan (MTCP), kesihatan, pertanian, bantuan kemanusiaan, perundangan dan pencegahan rasuah.

Tambah Zamshari, Malaysia pula sedang menggiatkan promosi pelancongan, kebudayaan dan kesenian di Qatar dengan mengambil kesempatan di mana negara berkenaan merupakan “hub” transit udara dan menjadi tumpuan dunia melalui penganjuran pelbagai kejohanan sukan-sukan antarabangsa.

Misalnya, FIFA World Cup Qatar 2022, Formula One, the Wimbledon Championships (tenis) dan Golf Masters. Malaysia Airlines juga telah menjalinkan kerjasama dalam bidang penerbangan dengan Qatar Airways yang mempunyai jaluran penerbangan yang luas dan diiktiraf sebagai salah sebuah syarikat penerbangan terkemuka dunia.

Menurut info daripada Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Doha, hubungan diplomatik di antara Malaysia dan Qatar mula terjalin sejak tahun 1974 lagi.

Hubungan ini semakin berkembang setelah tertubuhnya Kedutaan Besar Malaysia di Doha pada bulan Ogos 2004 dan disusuli pembukaan Kedutaan Besar Qatar di Kuala Lumpur pada September 2004.

Hubungan dua hala ini diperkukuhkan lagi dengan lawatan-lawatan di peringkat tertinggi untuk meneroka kerjasama dalam pelbagai bidang. – SM

(Visited 126 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button