PolitikPRK

PKR tidak tolak ansur ahli terlibat jenayah – Anwar

PARTI Keadilan Rakyat (PKR) tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana ahli, termasuk pimpinan parti itu yang terlibat dengan jenayah.

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tindakan tegas akan diambil, termasuk menggantung keahlian mereka.

“Kalau sah ujian (air kencing positif) oleh polis dan penangkapan, selalunya kita ambil tindakan segera gantung (keahlian). Kita tidak boleh tolak ansur dalam soal jenayah.

“Selalunya dalam parti kita serah kepada lembaga disiplin untuk putuskan…dalam masa singkat kita ambil tindakan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas hadir di Ceramah Perdana pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis di Kampung Pimping Membakut malam ini.

Beliau diminta mengulas penahanan seorang Ahli Majlis Pimpinan Pusat Angkatan Muda Keadilan, yang merupakan antara 17 individu ditahan di sebuah kondominium di Jalan Puchong, Kuala Lumpur, awal pagi Isnin, dengan kebanyakan mereka didapati positif dadah.

Terdahulu dalam ucapannya, Ahli Parlimen Port Dickson itu mahu rakyat di Kimanis terus memberi sokongan kepada parti pemerintah, yang diamanahkan membawa perubahan di negeri ini selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Beliau berkata Parti Warisan Sabah di bawah pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, sudah pastinya akan membawa perubahan atas kehendak rakyat Sabah.
— BERNAMA

(Visited 191 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button