Berita

Kes Rasuah Ismail Sabri, “Kalau Ada Najis Pun Tak Akan Berbau Sebab ‘Bau Duit’” – Azam Baki

RAMPASAN wang tunai bernilai RM177 juta yang dikaitkan dengan siasatan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, disifatkan sebagai antara yang terbesar dan paling mengejutkan pernah dilihat dalam sejarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tanpa menyebut secara langsung nama individu yang sedang disiasat, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menyatakan bahawa jumlah tersebut bukan sahaja mengatasi banyak kes berprofil tinggi sebelum ini, malah turut meninggalkan kesan luar biasa terhadap dirinya secara peribadi.

“Kes terbaru ini melibatkan jumlah wang yang sangat besar, sehingga saya sendiri berada di depan wang tunai sebanyak RM177 juta. Ia antara yang paling besar pernah saya lihat sepanjang 42 tahun berkhidmat,” katanya ketika merasmikan Peluncuran Polisi Integriti Universiti Islam Selangor (UIS), hari ini.

Menurut beliau, hanya satu kes lain pernah hampir menandingi nilai rampasan itu, iaitu skandal Jabatan Air Negeri Sabah pada tahun 2016 yang menyaksikan rampasan wang tunai berjumlah RM53.3 juta.

Azam turut menyatakan bahawa wang yang terlalu banyak itu mencetuskan suasana luar biasa sehingga beliau menyifatkannya sebagai mewujudkan “bau duit” yang sangat kuat.

“Kalau dalam bilik itu ada najis pun tak akan berbau kerana bau duit lebih kuat,” selorohnya.

Pada sidang media Mac lalu, SPRM telah mendedahkan dan mempamerkan wang tunai dalam pelbagai mata wang asing yang dirampas daripada tiga lokasi termasuk sebuah ‘safehouse’. Turut dirampas ialah 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai hampir RM7 juta.

Antara mata wang yang dirampas termasuk Baht, Riyal, Euro, Pound Sterling, Won, Swiss Franc dan Yuan.

Menjawab persoalan mengenai dakwaan siasatan terpilih, Azam menegaskan bahawa jumlah wang yang dirampas dalam kes ini membuktikan SPRM bertindak berdasarkan bukti, bukan pengaruh politik.

“Apabila ditanya wartawan sama ada ini siasatan terpilih, saya hanya tunjukkan wang atas meja dan tanya semula – adakah ini kelihatan seperti siasatan terpilih?” ujarnya.

Dalam ucapannya, beliau turut menyentuh soal rasuah secara umum dan puncanya yang sering berpunca daripada nilai hidup serta didikan sejak kecil.

“Kita terlalu kejar duit. Kita ajar anak kejar kejayaan, kejar kebendaan. Integriti jadi nombor dua,” katanya dengan nada tegas.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button