Nasional

Bahaya Eksekutif berkuasa penuh dalam Proklamasi Darurat

SERAMAI 10 orang peguam termasuk bekas Presiden Malis Peguam menzahirkan kebimbangan terhadap pentadbiran Eksekutif yang diberi kuasa penuh ketika penguatkuasaan darurat.

Alasan untuk memberi fokus kepada krisis kesihatan membabitkan pandemik Koronavirus (Covid-19) tidak boleh menyembunyikan risiko sebenar kepada rakyat.

Hal yang paling ketara boleh berlaku ketika ini adalah salah guna kuasa dalam pentadbiran kerana kuasa diberi tidak terhad.

Malah, terdapat hal-hal tertentu melindungi kerajaan ketika darurat termasuklah beberapa perkara yang tidak boleh dicabar di mahkamah.

“Lebih membimbangkan adalah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Penting) 2021 memberikan kuasa tidak terhad ke atas orang awam dan harta benda.

“Hal berkenaan membolehkan rampasan tanah, bangunan atau sebarang harta benda secara paksa oleh kerajaan.

“Malah, pemilik boleh didenda sehingga RM5 juta dan penjara sehingga 10 tahun jika ingkar arahan kerajaan.

“Penilaian pampasan bukan oleh mahkamah dan tidak boleh dicabar di mahkamah. Ini juga memungkinkan tentera diberi kuasa mencari, menahan dan menangkap sama dengan yang dilakukan oleh polis.”

Demikian menurut satu kenyataan bersama 10 peguam iaitu Datuk Param Cumaraswamy, Datuk Dr. Cyrus V. Das, Datuk Mah Weng Kwai dan Datuk Kuthubul Zaman.

Turut serta, Datuk Yeo Yang Poh, Datuk Ambiga Sreenevasan, Zainur Zakaria, Ragunath Kesavan, Christopher Leong dan Steven Thiru.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah memberi perkenan terhadap Proklamasi Daruat selepas menerima nasihat daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa pihak termasuk Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi mendakwa Agong menerima nasihat yang tidak jujur daripada Perdana Meneri.

Dalam pada itu, kenyataan 10 peguam itu turut menegaskan terdapat beberapa implikasi lain darurat yang dilihat sebagai satu tindakan anti-demokrasi.

Ia termasuklah penggantungan Parlimen iaitu tiada persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta Dewan Undangan Negeri (DUN) ketika ordinan ini berkuatkuasa.

“Bahagian paling merisaukan adalah penangguhan persidangan Parlimen dan DUN. Tiada alasan yang wajar untuk melakukannya. Semua itu dilihat sebagai satu tindakan pentadbiran Eksekutif untuk lari daripada tanggungjawab.

“Sebarang ordinanan mesti dibentangkan di Parlimen di bawah Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan.

“Ia bertujuan bagi Parlimen menggunakan kuasa berdasarkan perlembagaan bagi menilai keputusan kerajaan. Dewan Rakyat dan Dewan Negara boleh mengeluarkan resolusi untuk membatalkan Proklamasi Darurat.

“Bagaimanapun, itu tidak berlaku dan ini menafikan demokrasi kita.

“Sangat mengejutkan apabila tunjang perlembagaan digantung tetapi operasi perniagaan lain boleh berjalan seperti biasa,” ujarnya.

Sebelum ini Muhyiddin memaklumkan Proklamasi Darurat adalah untuk membenarkan kerajaan memberi fokus kepada pengurusan krisis dan ia berkuatkuasa sejak 11 Januari hingga 1 Ogos 2021. – SM

(Visited 319 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button