MahkamahNasional

Kes prima facie terbukti terhadap Zahid Hamidi-Pendakwa Raya

MAHKAMAH Tinggi diberitahu hari ini, wang termasuk dalam mata wang asing yang diterima Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) adalah dalam kapasitinya menjalankan tugas awam sebagai menteri.

Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob berkata, Zahid sebagai menteri dalam negeri menerima wang itu untuk dirinya sendiri.

“Walaupun pihak pembelaan mengatakan wang itu ialah sumbangan politik, ia tidak dibayar kepada parti politiknya,” katanya.

Pada masa wang itu diterima, antara 2014 dan 2018, Zahid juga memegang jawatan sebagai naib presiden UMNO dan pemangku timbalan presiden UMNO.

Malik berkata, UKSB tidak pernah memasukkan wang itu ke dalam akaun UMNO mahupun mendapatkan resit pembayaran.


“Tertuduh juga tidak menolak atau meminta wang itu diambil pergi ketika diserahkan kepadanya,” katanya dalam hujah pada penutupan kes pendakwaan.

Malik berkata, pengarah UKSB ketika itu, Harry Lee dan Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani bertemu Zahid beberapa kali pada 2013 selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

“Perbincangan bermula dengan perniagaan UKSB dan kemudiannya mengenai politik. Tertuduh menyatakan dia memerlukan bantuan daripada mereka,” katanya.

Sebagai contoh, katanya, Zahid mencadangkan dia memerlukan wang tunai dalam mata wang dolar Singapura.

Katanya, Lee dan Wan Quoris yang memutuskan untuk membayar SGD200,000, SGD300,000 dan SGD520,0000 kepada Zahid setiap bulan.

“Lee mengesahkan pembayaran itu manakala seorang lagi kakitangan UKSB (bekas pengurus pentadbiran David Tan) merekod pembayaran dalam lejar,” katanya.

Malik berkata, biasanya Lee dan Wan Quoris yang menghantar wang itu ke rumah Zahid di Country Heights, Kajang, atau di kediaman rasmi timbalan perdana menteri di Putrajaya, selepas 10 malam.

“Saksi-saksi ini bercakap benar kerana pertemuan itu memang berlangsung,” katanya sambil menambah, Lee, Tan dan Wan Quoris ialah saksi yang boleh dipercayai.

Katanya, pihak pembelaan menggelar ketiga-tiga mereka sebagai rakan subahat tetapi keterangan mereka boleh diterima bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Mereka boleh dipercayai dan boleh diharap. Mereka menjawab semua soalan dengan jujur dan terus terang,” katanya sambil menambah, jika terdapat sebarang percanggahan dalam keterangan mereka sekalipun, ia adalah kecil dan tidak material.

Beliau mempertahankan bahawa pendakwaan mewujudkan kes prima facie terhadap Zahid kerana bahan pertuduhan itu telah dipenuhi.

Zahid, Ahli Parlimen Bagan Datuk, berdepan 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SGD13.56 juta (RM42 juta) daripada UKSB sebagai menteri dalam negeri ketika itu untuk menyambung kontrak firma itu sebagai pengendali pusat sehenti di China dan Sistem Visa Asing (VLN) serta mengekalkan perjanjian kontrak untuk pembekalan sistem bersepadu VLN.

Dia yang juga presiden Umno didakwa atas tujuh lagi pertuduhan memperoleh untuk dirinya sendiri S$1.15 juta, RM3 juta, 15,000 franc Swiss dan USD15,000 daripada syarikat yang sama berhubung tugas rasminya.

Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di Seri Satria di Presint 16, Putrajaya, dan di Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Perbicaraan di hadapan Hakim Yazid Mustafa bersambung. – FMT – SM

(Visited 183 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button