Nasional

Kes positif COVID-19 lepasi angka 800 di Singapura

KEMENTERIAN Kesihatan Singapura (MOH) mengesahkan 70 lagi kes positif jangkitan wabak COVID-19 dengan empat kes melibatkan rakyat Malaysia pemegang Pas Kerja Singapura.

BERNAMA melaporkan semalam, ini adalah angka kes positif tertinggi yang direkodkan di Singapura setakat ini iaitu dalam tempoh 24 jam dan menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 802.

MOH dalam satu kenyataannya memberitahu, daripada 70 kes positif, 41 adalah kes dari luar manakala 29 lagi adalah kes tempatan yang tiada rekod terkini perjalanan ke luar negara.

Semua 41 kes mempunyai sejarah melawat ke Eropah, Amerika Utara, ASEAN dan lain-lain negara di Asia, menurut kenyataan MOH.

Menyentuh tentang dua kes dari luar melibatkan dua lelaki rakyat Malaysia, masing-masing berusia 28 dan 47 tahun yang dirawat di Hospital Besar Ng Teng Fong dan Pusat Kebangsaan bagi Penyakit Berjangkit (NCID).

Sementara itu, dua lagi rakyat Malaysia iaitu seorang wanita berusia 36 tahun dan seorang  lelaki berusia 26 tahun merupakan sebahagian daripada 29 kes tempatan baharu.

Pesakit wanita itu tidak mempunyai kaitan dengan sebarang kes terdahulu dan kini dirawat di Hospital Khoo Teck Puat sementara lelaki itu yang mempunyai kaitan dengan kluster SingPost Centre di Eunos Road, kini ditempatkan di NCID.

Menurut kementerian itu lagi, 15 lagi kes jangkitan COVID-19 sudah dibenarkan keluar hospital atau fasiliti isolasi komuniti.  Jumlah keseluruhan yang pulih sepenuhnya adalah 198.

Daripada 420 kes disahkan dan masih di hospital, kebanyakan mereka dalam keadaan stabil atau beransur pulih sementara 19 lagi dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi.

MOH mengenal pasti 10,875 kontak rapat yang dikuarantin dan angka itu berubah semasa berita ini dipetik dari laporan BERNAMA. – SM

(Visited 67 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button