Kecek

Pasangan suami isteri pelarian Syria dicampak hidup-hidup ke laut

Mereka dibiarkan mati lemas

HARAPAN pasangan suami isteri ini menggunung tinggi untuk memulakan hidup baharu di tempat baharu selepas negara asal, Syria, musnah angkara konflik sejak hampir sedekad lalu.

Kedua-duanya berjaya menempuh perjalanan yang mencabar dengan merentas negara jiran seterusnya ke utara Afrika sebelum berhenti di Maghribi.

Dari situ mereka merancang untuk pergi lebih jauh, ke dunia ketiga yang lebih aman demi masa depan yang lebih cerah.

Negara Eropah dan Barat menjadi tarikan pasangan ini kerana benua itu dikatakan mampu memberi peluang kehidupan yang lebih baik.

Namun dengan status sebagai pelarian dan pendatang haram, ia tidak mudah untuk ke sana.  Mereka perlu bersaing dengan ribuan yang lain untuk melepasi pengawal pantai sebelum memasuki Laut Mediterranean dan seterusnya ke perairan Sepanyol.

Hanya ada satu cara untuk sampai ke sana iaitu menggunakan sindiket penyeludupan manusia dan kosnya bukan murah.

Merentasinya juga satu risiko dan peluang untuk mendarat dengan selamat tidak semudah seperti yang dijanjikan.

Menggunakan simpanan yang ada, pasangan suami isteri yang berusia 28 dan 37 tahun itu nekad membayar sejumlah wang kepada sindiket untuk membawa mereka ke Sepanyol.

Namun apa yang diharapkan tidak menjadi kenyataan. Segala hasrat dan impian mereka berkecai umpama kaca terhempas ke lantai.

Pasangan berkenaan bukan sahaja dikhianati oleh sindiket  tetapi mereka dibiarkan mati lemas di tengah laut selepas dicampak dari bot.

Alangkah sedihnya tragedi yang menimpa pasangan ini. Mayat mereka berjaya ditemukan dan kemudiannya disemadikan di daratan.

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=954683354943517&id=313492355729290

Kisah menyayat hati pasangan suami isteri yang malang ini dikongsi oleh Ridhuan Ali Basha di laman Facebooknya.

Perkongsian itu bukan untuk meraih simpati dunia tetapi suatu kisah tragis yang ditempuh oleh mereka yang berstatus pelarian.

Mendambakan sebuah kehidupan yang lebih baik dari penderitaan yang dilalui selama lebih sedekad lamanya, pasangan suami isteri ini sekadar berputih mata.

Kezaliman ada di mana-mana termasuk daripada mereka yang menangguk di air keruh. – SM

(Visited 862 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button