fbpx
Politik

Kes Najib: Kerajaan PN tegakkan prinsip kedaulatan undang-undang

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin menegaskan, beliau memahami perasaan dan sentimen rakan-rakan dalam Perikatan Nasional terhadap keputusan mahkamah berkaitan kes Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Namun begitu, Muhyiddin menegaskan Kerajaan Perikatan Nasional akan sentiasa menegakkan prinsip kedaulatan undang-undang.

“Kerajaan menghormati hak Datuk Seri Najib untuk merayu atas hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah.

“Sama-samalah kita beri ruang kepada proses undang-undang untuk memastikan keadilan dapat ditegakkan,” kata Muhyiddin dalam satu kenyataan.

Menurut Muhyiddin, Kerajaan menghormati keputusan mahkamah. Justeru beliau menggesa semua pihak agar terus meletakkan kepercayaan kepada sistem perundangan serta kehakiman negara sebagai institusi yang bebas dan berkecuali.


Bekas perdana menteri itu didapati bersalah terhadap tujuh pertuduhan melibatkan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu setelah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap kesemua pertuduhan terhadap Najib.

Ahli Parlimen Pekan itu dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap tiga pertuduhan kes CBT dan setiap kes pengubahan wang haram manakala 12 tahun penjara serta denda RM210 juta atau penjara lima tahun dalam kes menyalahguna kedudukan.

Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun setelah Mohd Nazlan memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak.-SM

(Visited 3 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button