KesihatanNasionalNegeriPenyakit

Kes jangkitan HFMD di Sabah turun

SABAH mencatatkan penurunan 27.17% kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) pada minggu epidemiologi ke-22 bermula 29 Mei hingga 4 Jun lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Dr Rose Nani Mudia berkata, sebanyak 528 kes HFMD dilaporkan sepanjang minggu epidemiologi ke-22, berbanding 725 kes pada minggu epidemiologi ke-21.

Katanya, sebanyak 4,224 kes atau 91% daripadanya adalah kes HFMD yang membabitkan kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah.

“Melalui surveilans enterovirus, didapati sebanyak 57 sampel positif atau 21% daripada 267 sampel yang diuji, iaitu masing-masing 39 sampel positif pan-enterovirus dan 18 sampel positif Coxsackie A16.

“Kedua-dua jenis virus ini yang menyebabkan penularan HFMD dalam komuniti di negeri Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.


Sementara itu, sebanyak lima daerah melaporkan kumulatif kes HFMD tertinggi di Sabah iaitu Tawau (715 kes), Sandakan (615 kes), Papar (470 kes), Lahad Datu (428 kes) dan Kota Belud (399 kes).

Bagaimanapun kata Rose Nani, setakat ini tiada kes kematian yang disebabkan HFMD dilaporkan di negeri itu, manakala kebanyakan kes jangkitan dilaporkan berlaku di rumah persendirian atau pusat pendidikan awal.

“Keadaan wabak HFMD di Sabah masih terkawal. Aktiviti kawalan seperti perjumpaan bersama pihak taska masih dijalankan dari semasa ke semasa.

“Sebanyak 7,568 premis seperti taska diperiksa pihak JKNS, manakala sebanyak 6,980 premis dilakukan proses disinfeksi di seluruh negeri sehingga minggu epidemiologi ke-22.” katanya. – SM

(Visited 20 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button