Rencah Hidup

Kes jenazah bayi disimpan 16 hari, sedia ambil tindakan undang-undang

BAPA kepada bayi lelaki, Safwan Roshdy yang jenazahnya didakwa disimpan selama 16 hari oleh sebuah hospital swasta, tampil memperjelaskan situasi sebenar sambil memberi amaran keras kepada pihak yang menabur fitnah.

Menurut peguamnya, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar, pihaknya telah mengesahkan kesahihan sijil perkahwinan Safwan melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs). Namun, walaupun bukti sahih telah dikemukakan, netizen terus melemparkan tuduhan tidak berasas.

“Kami beri tempoh tiga jam, sehingga tengah malam tadi, untuk memadamkan hantaran atau komen fitnah. Kami sudah kenal pasti individu terbabit, termasuk mereka yang membuat siaran langsung di TikTok,” tegas Ahmad Zaharil ketika ditemui di kediaman Safwan di Kota Damansara malam tadi.

Tindakan Terhadap Hospital

Berhubung isu hospital yang didakwa menyimpan jenazah bayi selama 16 hari kerana bapa tidak menjelaskan bil rawatan, Ahmad Zaharil memaklumkan bahawa tindakan undang-undang sedang dirangka.

“Kami akan membuat laporan polis dalam masa terdekat. Tindakan saman sivil dan jenayah mungkin diambil terhadap pihak hospital. Namun, siasatan lanjut perlu dilakukan oleh pihak polis dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menentukan kedudukan sebenar,” katanya lagi.

Kekecewaan Safwan

Safwan, 22, yang bekerja sebagai operator kilang, meluahkan kekecewaan terhadap kecaman yang diterima di media sosial. Tuduhan tidak berkahwin, caci maki, dan penghinaan yang dilemparkan ke atasnya mencabar kesabarannya.

“Saya kecewa dengan tuduhan dan fitnah yang tidak berasas ini. Saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang dan menyerahkan perkara ini sepenuhnya kepada peguam,” ujarnya tegas.

Kes ini bukan sahaja melibatkan soal emosi seorang bapa yang kehilangan anak, tetapi turut menjadi medan perdebatan di media sosial.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button