Hiburan

Ali vokalis kumpulan XPDC ditidurkan di Hospital Ampang

Mohon doa, solat hajat dan bacaan Yassin

VOKALIS kumpulan XPDC, Ali yang dimasukkan ke Hospital Ampang pada Jumaat lalu, terpaksa ditidurkan hari ini selepas dia mengalami kesukaran bernafas.

Ali, 53, menurut isterinya, Sharifah Syarzana, memohon kepada semua peminat suaminya berdoa dan melakukan solat hajat serta bacaan Yassin untuk kesihatan Ali.

Mengambil barokah hari Jumaat, hari ini, rakan-rakan seangkatan dan seperjuangan dengan Ali diharapkan turut sama melakukan solat hajat dan bacaan Yassin untuk beliau.

Menurut isteri Ali lagi, keadaan suaminya itu sekarang adalah 50/50.

“Saya mohon diadakan bacaan Yassin untuknya,” kata Sharifah Syarzana yang mengakui, menemani Ali di hospital.

Sementara itu, dalam Facebook Sahabat XPDC, turut muatnaik status terkini Ali untuk perkongsian dengan para peminatnya.

Berdasarkan catatan di Facebook itu, setakat pukul 7 malam tadi, ahli keluarga Ali memohon supaya didoakan buat Ali supaya dia cepat sembuh.

“Keadaan Ali kalau diikutkan, semakin sihat dan mula diajar buat aktiviti ringan dan boleh bercakap walaupun keadaan separuh tubuh Ali, di bahagian sebelah kanan, masih lagi lemah.

“Tetapi petang tadi (semalam) Ali mengalami sesak nafas dan telah ditidurkan sementara buat masa ini.

“Walaupun pernafasan Ali sudah kembali normal tetapi dia masih lagi ditidurkan dan dipantau,” menurut catatan Facebook Sahabat XPDC.

Bagaimanapun Ali masih belum menerima pelawat dan ahli keluarganya meminta agar semua peminat dan sahabat, titipkan doa buat Ali atau nama sebenarnya, Mohd Ali Ismail agar kesihatannya kembali seperti dahulu.

Untuk rekod, pada Jumaat lepas, Ali dikejarkan ke Hospital Ampang apabila dia secara tiba-tiba, tidak bermaya ketika mahu makan usai sesi latihan di studio milik pemain bass kumpulan XPDC, Eddie yang terletak di Pandan Indah.

Mereka berlatih sebagai persiapan untuk persembahan Konsert Jualan Hitam 2022 yang akan diadakan esok, 12 Mac bertempat di Warisan Hall Studio, Banting, Selangor. – SM

(Visited 537 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button