KesihatanNasional

Kes HFMD meningkat 20 kali ganda, Selangor masih mencatatkan jumlah tertinggi – Dr. Noor Hisham

BILANGAN kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di negara ini meningkat pada kadar yang membimbangkan sebanyak 20 kali ganda, dengan 47,209 kes dilaporkan setakat 21 Mei tahun ini berbanding hanya 2,237 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Datuk Seri Dr Noor Hisham Abdullah berkata 15,548 kes direkodkan di seluruh negara pada Minggu Epidemiologi (ME) 20/2022 yang berakhir 21 Mei, iaitu peningkatan sebanyak 106.6% daripada hanya 7,526 kes yang direkodkan pada ME sebelumnya.

“Majoriti lokasi penularan wabak itu berlaku di taska, tadika dan prasekolah iaitu 711 wabak atau 61% daripada jumlah kes, diikuti rumah persendirian dengan 407 wabak atau 35% dan pusat jagaan kanak-kanak dengan 42 wabak (3%),” tambahnya dalam kenyataan pada hari ini.

Selangor mencatatkan jumlah kes HFMD terbesar dengan 13,640 kes atau 28.9% daripada jumlah keseluruhan, diikuti Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan 6,206 kes (13.1%), Perak dengan 4,099 kes (8.7%), Kelantan dengan 3,726 kes (7.9%) dan Sabah dengan 3,352 kes (7.1%), manakala negeri lain melaporkan kurang daripada 2,500 kes.

Beliau berkata sejumlah 1,168 wabak dilaporkan di Malaysia setakat ini dengan tiga negeri mencatatkan jumlah tertinggi iaitu Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan 413 wabak (35.4%), diikuti Selangor sebanyak 143 (12.2%) dan Perak sebanyak 130. (11.1%).

Jelasnya, kebanyakan kes HFMD berlaku dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur enam tahun, yang terbukti dalam 43,736 kes (93%), diikuti oleh mereka yang berumur tujuh hingga 12 tahun (2,765 kes atau 6%) dan mereka yang berumur 12 tahun ke atas (696 kes atau 1%).

Sementara itu, Dr. Noor Hisham menyatakan bahawa Jabatan Kesihatan Negeri dan Pejabat Kesihatan Daerah di seluruh negara telah mengadakan sesi penglibatan dengan agensi yang menyelia pengurusan taska, tadika dan prasekolah sejak ME 17/2022 berikutan peningkatan kes HFMD di kebanyakan negeri.

Menurutnya, sesi tersebut meberikan penekanan kepada saringan di pintu-pintu masuk, amalan mencuci tangan yang betul, pembasmian kuman pada mainan kanak-kanak, lantai rumah dan tandas, pengurusan lampin pakai buang yang betul, dan penggunaan peralatan makan dan minum yang berasingan.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut mengingatkan orang ramai khususnya ibu bapa yang mempunyai anak kecil supaya tidak membawa anak ke tempat yang berisiko dijangkiti seperti di taman permainan awam.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya melaporkan kes HFMD yang berlaku di taska, tadika dan sekolah anak mereka ke pejabat kesihatan daerah berhampiran untuk tindakan kawalan. – SM

(Visited 257 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button