Kesihatan

Kes HFMD meningkat 19% dalam seminggu

KEMENTERIAN Kesihatan melaporkan peningkatan 19% dalam kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) pada minggu lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata terdapat 18,602 kes dilaporkan berbanding 15,548 minggu sebelumnya.

Beliau berkata, sebanyak 65,535 kes dilaporkan setakat 28 Mei lalu, meningkat 27 kali ganda daripada jumlah kes dalam tempoh sama tahun lepas apabila hanya 2,333 kes dilaporkan.

Kebanyakan kes (91%) adalah dalam kalangan kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah, manakala 7% adalah dalam kalangan mereka yang berumur antara tujuh dan 12 tahun, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Majoriti kes adalah di Selangor (28.3%), diikuti Kuala Lumpur dan Putrajaya (12.3%), Perak (8.8%), Kelantan (7.5%) dan Sabah (6.2%).

Sehingga kini, sebanyak 1,505 wabak telah dilaporkan di negara ini dengan Kuala Lumpur dan Putrajaya mencatatkan wabak tertinggi iaitu 502 (33.4%), diikuti Selangor sebanyak 172 (11.4%) dan Perak sebanyak 168 (11.2%).

Majoriti wabak terus berlaku di taska, tadika dan prasekolah.

Noor Hisham menggesa pertubuhan ini untuk menjalankan pemeriksaan kesihatan di pintu masuk bagi mengelak penularan penyakit itu selanjutnya.

“Ibu bapa juga dinasihatkan supaya tidak membawa anak-anak ke tempat yang berisiko tinggi jangkitan seperti taman permainan awam,” katanya sambil menambah orang ramai dinasihatkan melaporkan sebarang kes HFMD kepada kementerian untuk tindakan diambil.

Tiga jenis virus utama yang menyebabkan HFMD di negara ini sejak awal tahun 2022 ialah Coxsackie A16 (CA16), Coxsackie A6 (CA6) dan Enterovirus 71 (EV71).

 

(Visited 126 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button