Nasional

111 terima anugerah premis bersih MBPJ

Sebanyak 111 pemilik premis makanan dan tandas awam di Petaling Jaya menerima pengiktirafan Anugerah Premis Makanan dan Tandas Bersih 2023 daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) hari ini.

Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Aznan Hassan berkata,  pengiktirafan itu diberikan bagi menghargai usaha pemilik premis makanan dan tandas bersih di atas inisiatif mereka menjaga dan mengekalkan tahap  ebersihan premis makanan dan tandas bagi mencapai standart terbaik melalui kriteria-kriteria yang ditetapkan oleh majlis.

“Pada masa sama ia juga dapat meningkatkan tahap kesedaran pengusaha premis makanan dan tandas untuk sentiasa mengekalkan tahap kebersihan premis pada setiap masa.”

Tambah beliau, “melalui pengiktirafan sebegini diharapkan dapat meningkatkan daya saing mana-mana pemilik premis untuk menjadikan premis mereka sebagai premis yang bersih dan secara tidak langsung dapat meningkatkan jumlah premis makanan dan tandas bersih di Petaling Jaya.”

Pengiktirafan ini diberikan kepada 84 premis makanan dan 27 penerima kategori tandas awam.

Bagi kategori premis makanan yang diberi pengiktirafan ialah restoran berhawa dingin, restoran tidak berhawa dingin, dapur hotel, kafe dan bakeri, restoran makanan segera, kompleks beli belah, medan selera swasta, kompleks gerai MBPJ, gerai individu MBPJ, kantin sekolah rendah dan kantin sekolah menengah.

Bagi kategori tandas awam yang menerima anugerah ini adalah tandas awam majlis, tandas awam di bangunan majlis, terminal pengangkutan awam, kompleks beli belah, gerai & pasar, restoran berhawa dingin, restoran tidak berhawa dingin serta stesen minyak.

Kriteria pemilihan dibuat meliputi beberapa aspek termasuk kebersihan, kawalan mutu makanan, pematuhan syarat permit, persekitaran dan mesra pelanggan.

Ia dinilai panel juri terdiri daripada pegawai Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), pegawai dari Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, pegawai dari Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Bandaraya Shah Alam, Pejabat Kesihatan Daerah dan jabatan dalaman MBPJ.

Justeru, dengan adanya program seperti ini, risiko kejadian kes-kes keracunan makanan serta penyakit bawaan makanan dan minuman boleh dikurangkan demi menjamin suasana persekitaran yang bersih dan keselesaan kepada pengguna setiap masa.

Semua pihak perlu bersama-sama MBPJ untuk terus menyumbang kepada pembentukan sebuah bandaraya pintar, mampan dan berdayatahan menjelang tahun 2030.

(Visited 129 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button